Jumaat, 16 Februari 2024 | 11:00am
Sahronizam merancang mendaftar sebagai orang kurang upaya (OKU), namun masih belum berkesempatan berbuat demikian. - NSTP/Hazreen Mohamad
Sahronizam merancang mendaftar sebagai orang kurang upaya (OKU), namun masih belum berkesempatan berbuat demikian. - NSTP/Hazreen Mohamad

Hilang jari kelingking, Sahronizam rancang dapatkan status OKU

KUALA LUMPUR: Hampir setahun insiden jari kelingking tangan kirinya terputus selepas pisau yang digunakan untuk memotong ayam tersasar, lalu, tertetak jarinya, pelakon, Sahronizam Noor mula betah dan menjalani kehidupan normal.

Sahronizam yang muncul dalam filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam yang sedang ditayangkan di pawagam, mengaku semakin selesa dan biasa dengan kekurangan itu.

"Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Walaupun saya kurang satu jari, saya tidak pernah rasa kurang. Tiada rasa terbatas atau sebagainya. Insya-Allah, semuanya okay. Iyalah, benda sudah tiada, kita hendak cari buat apa.

"Tetapi saya rasa juga kehilangan itu sebab Allah SWT cipta jari dan kuku ada fungsinya. Tidak dinafikan rasa juga apabila jari kelingking ini tiada. Ada rasa ngilu bila cuaca sejuk, tetapi apabila memandu dan sebagainya, semuanya okay," katanya.

April tahun lalu, Sahronizam hilang jari kelingking tangan kiri selepas pisau pemotong daging yang digunakan untuk melapah ayam, tersasar, lalu terkena bahagian jarinya itu.

Sahronizam bagaimanapun tidak menafikan beberapa minggu selepas kemalangan itu, dia sukar tidur berikutan rasa sakit.

"Lama juga saya ambil masa hendak hilangkan rasa sakit. Awal-awal, memang saya bergantung kepada ubat tahan sakit sebab berdenyut-denyut. Boleh kata, dua minggu pertama, terasa sakitnya.

"Namun, Alhamdulillah, sekarang sudah okay. Apabila berlakon pun saya okay. Cuma ada beberapa aktiviti fizikal saya tidak boleh buat," katanya.

Sahronizam yang juga suami kepada pelakon dan penyanyi, Safura Yaacob merancang untuk mendaftar sebagai orang kurang upaya (OKU). Namun, sehingga kini, dia masih belum berkesempatan berbuat demikian.

"Boleh saja hendak minta (status OKU). Kawan-kawan cakap kalau saya buat, nanti ada kemudahan dan sebagainya. Tetapi, saya belum sempat buat lagi. Insya-Allah, saya akan buat permohonan selepas ini," katanya.

Sahronizam berkata, dia lebih berhati-hati ketika mengendalikan objek tajam disebabkan tak mahu perkara sama berulang.

"Sekarang saya lebih berhati-hati sebab fungsi tangan pun sudah kurang berbanding dahulu. Dua atau tiga hari sebelum ini, saya potong ayam menggunakan sebelah tangan sebab risau nanti ibu jari pula yang hilang," katanya ditemui pada majlis tayangan perdana filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sahronizam bersama barisan pelakon pada majlis tayangan perdana filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Sahronizam bersama barisan pelakon pada majlis tayangan perdana filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Selain Sahronizam, filem itu dibintangi Zahiril Adzim, Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam dan Ruminah Sidek.

Berkongsi pengalaman menjayakan naskhah seram itu, Sahronizam tidak mengalami sebarang gangguan seperti yang dihadapi rakan pelakon yang lain.

"Alhamdulillah, saya tidak kena 'kacau' seperti pelakon lain. Sepanjang penggambaran, saya berpegang kepada niat mahu bekerja, bukannya mencari mereka (makhluk halus).

"Jadi, tiada sebarang gangguan. Kita bekerja bukan hendak berseronok," katanya.

Sahronizam memberi sepenuh jiwa dalam menghidupkan watak Rewan iaitu pengamal ilmu hitam dalam filem berkenaan. Malah, Sahronizam melantik guru bagi mengajar gerak tari kuda kepang agar tidak tampak kaku.

"Terima kasih sahabat saya dari Istana Budaya (IB) yang saya minta secara khusus mengajar saya gerak tari kuda kepang.

"Saya minta dia datang ke rumah selama tiga hari hanya untuk belajar gerak tari itu. Walaupun tidak sehabat mana, namun, itulah hasilnya," katanya yang turut membintangi drama 50 episod, Malangnya Si Puteri.

Filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam berkisar penuntut ilmu perubatan tradisional, Rewan lakonan Sahronizam yang tidak dapat menerima kematian isterinya.

Rewan berguru dengan Mbah Usu Lijah kerana dia tahu wanita itu memiliki ilmu membangkitkan jasad tanpa roh melalui kitab keturunan kaum Mihanasa.

Berita Harian X