Khamis, 15 Februari 2024 | 6:40pm
Amir langsung tidak berdebar biarpun pentas akhir AJL 38 hanya berbaki kurang sebulan lagi. - NSTP/Rohanis Shukri
Amir langsung tidak berdebar biarpun pentas akhir AJL 38 hanya berbaki kurang sebulan lagi. - NSTP/Rohanis Shukri

Amir Jahari risau tiada perasaan gementar

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Amir Jahari bimbang dengan dirinya tidak mempunyai perasaan gementar untuk membuat persembahan di khalayak ramai.

Pencipta lagu Hasrat itu berkata, dia langsung tidak berdebar biarpun pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 hanya berbaki kurang sebulan.

"Saya risau tiada 'adrenaline rush' (gementar) macam penyanyi lain rasakan setiap kali naik ke pentas untuk buat persembahan.

"Sekarang, saya relaks sahaja, apapun keputusan saya hanya berserah.

"Bagaimanapun, saya tetap buat persediaan dengan mengikut kelas vokal dengan Cikgu Shafi.

"Namun, saya tak nak letakkan AJL sebagai pertandingan, tapi lebih kepada persembahan karya dan penceritaan," katanya yang ditemui pada sesi Meet & Greet Paling Ikonik AJL 38 di Pasar Seni, baru-baru ini.

Amir tidak pasang angan-angan merangkul anugerah, biarpun ramai meramalkan lagu Hasrat miliki potensi berada kedudukan tiga terbaik. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Amir tidak pasang angan-angan merangkul anugerah, biarpun ramai meramalkan lagu Hasrat miliki potensi berada kedudukan tiga terbaik. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang itu berkata, dia tidak memasang angan-angan merangkul anugerah, biarpun ramai meramalkan lagu Hasrat memiliki potensi berada pada kedudukan tiga terbaik.

Secara peribadi, katanya, dia menggemari karya Faizal Tahir menerusi Santai, Sutera (Aisha Retno) dan Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul).

"Saya tak rasa pun akan menang. Jika ambil kira melodi dan lirik berdasarkan filem Imaginur, lagu Hasrat miliki peluang untuk menang.

"Tapi, untuk pertandingan, lagu Hasrat tiada dinamik dan tak cukup kuat untuk dipertandingkan.

"Sebenarnya saya hanya nak berkongsi dengan penonton saat gelap boleh membawa cahaya dan pengharapan, itu konsep yang dibawakan pada malam AJL 38," katanya.

Tambah Amir, 90 peratus persiapan sudah selesai dan hanya tinggal bahagian kecil.

Katanya, tiada elemen kejutan, sebaliknya hanya persembahan biasa yang tertumpu kepada penceritaan dan mesej.

Berita Harian X