Khamis, 15 Februari 2024 | 3:04pm
Sarimah mengamalkan pemakanan berkhasiat dan organik demi mengekalkan kesihatan diri selepas bebas kanser usus. - NSTP/Aziah Azmee
Sarimah mengamalkan pemakanan berkhasiat dan organik demi mengekalkan kesihatan diri selepas bebas kanser usus. - NSTP/Aziah Azmee

Sarimah bebas kanser usus selepas pembedahan

SUBANG JAYA: Bintang legenda, Datuk Sarimah Ahmad mendedahkan pernah menghidap kanser usus tahap tiga pada 2022 dan kini, bebas dan pulih daripada penyakit itu selepas menjalani pembedahan.

Sehubungan itu, Sarimah, 82, memaklumkan, beliau mengamalkan pemakanan berkhasiat dan organik demi mengekalkan kesihatan diri.

"Selepas pembedahan dan disahkan pulih daripada kanser, hanya sekali sahaja saya buat rawatan susulan.

"Saya juga tidak mahu menjalani rawatan kimoterapi disebabkan faktor usia.

"Oleh itu, saya hanya mengambil makanan sihat seperti salad, buah naga, avocado, madu, telur ayam kampung dan kekacang," katanya kepada BH Online.

Berkongsi serangan kanser itu, seniwati tersohor itu menjelaskan, awalnya dia mengalami sakit pada bahagian abdomen.

"Rasa sakit itu sudah lama ada dan saya sangka ia hanyalah sakit biasa hinggalah saya jatuh pengsan di bilik air di rumah.

"Anak bongsu kemudiannya membawa saya ke sebuah hospital swasta di Shah Alam. Selepas membuat pemeriksaan, doktor beritahu tiada ada apa yang serius dan hanya diberi ubat.

"Namun, keadaan menjadi lebih teruk dan saya terus ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk rawatan lanjut.

"Di situ, saya disahkan menghidap kanser usus tahap tiga dan perlu segera menjalani pembedahan," ujarnya ditemui pada program Ziarah Madani bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi di kediamannya di Subang Jaya.

Sarimah lebih selesa merahsiakan penyakit kanser usus dan sanggup keluarkan duit simpanan untuk menampung kos rawatan. - NSTP/Aziah Azmee
Sarimah lebih selesa merahsiakan penyakit kanser usus dan sanggup keluarkan duit simpanan untuk menampung kos rawatan. - NSTP/Aziah Azmee

Dalam perkembangan berkaitan, pelakon filem Madu Tiga itu turut mendedahkan menghadapi masalah kewangan untuk membiayai kos rawatan yang mencecah RM60,000.

Susulan itu, Sarimah memaklumkan beliau disaran pihak tertentu supaya berkongsi penderitaannya kepada masyarakat bagi meringankan beban yang ditanggung.

"Bagaimanapun, saya lebih selesa merahsiakannya dan memang tidak mahu menagih simpati sesiapa.

"Atas sebab itu saya sanggup keluarkan duit simpanan untuk menampung kos rawatan.

"Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Saya tidak mahu susahkan mana-mana pihak dan tak nak berhutang dengan sesiapa," tegasnya.

Terdahulu, pada 2011, Sarimah dilaporkan pernah menghidap kanser hidung, namun sudah pulih sepenuhnya.

Berita Harian X