Khamis, 15 Februari 2024 | 8:30am
Barisan pelakon dan pasukan produksi ketika majlis tayangan perdana filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di ibu kota, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Barisan pelakon dan pasukan produksi ketika majlis tayangan perdana filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di ibu kota, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Kisah bangkitkan jasad tanpa roh difilemkan

KUALA LUMPUR: Istilah 'waruga' mungkin agak asing dalam kalangan masyarakat tempatan. Mengikut kepercayaan kaum Minahasa yang berasal dari Sulawesi, Indonesia, 'waruga' bermaksud tempat persemadian mayat atau makam bagi etnik itu.

Mengikut ritual dan kepercayaan kaum Minahasa, mayat disemadikan dalam kedudukan di mana kedua-dua lutut dirapatkan ke dada seperti kedudukan bayi dalam kandungan. Mereka percaya jasad yang disemadikan, dilahirkan semula pada masa akan datang.

Tertarik dengan keunikan kepercayaan kuno etnik Minahasa, syarikat produksi D'Ayu Pictures menerbitkan filem seram berjudul Waruga: Kutukan Ilmu Hitam yang mula menemui penonton di pawagam tempatan, hari ini.

Bagaimanapun, penerbit menjaga sensitiviti kaum Minahasa dengan tidak memaparkan babak seperti pemujaan mayat keterlaluan selain meringankan penyampaian agar sesuai dengan tontonan tempatan.

Pengarah Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, Azaromi Ghozali, berkata idea untuk menghasilkan filem itu bermula dengan penceritaan seorang penulis dari Indonesia, iaitu Gawar Sawba'yah mengenai kepercayaan kuno kaum Minahasa, dipercayai bermula sejak kurun ke-16. Atas bantuan Gawar, mereka sama-sama menghasilkan skrip filem berkenaan.

"Ketika itu, saya juga ada idea cerita seram yang berkait ilmu hitam dan pemujaan mayat. Secara tidak langsung, berkait dengan kepercayaan kaum Mihanasa.

"Jadi, saya gabungkan dua idea ini dan terhasilnya filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.

"Filem ini menceritakan soal ilmu hitam dan pemujaan untuk membangkitkan semula jasad orang yang sudah mati. Saya pilih tajuk Waruga sebagai simbolik dan inspirasi kepada upacara kelahiran semula mengikut kepercayaan Minahasa," katanya.

Waruga: Kutukan Ilmu Hitam menampilkan lakonan mantap Zahiril Adzim, Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama, Adik Putri Amirah Maisara dan Syed Irfan.

Azaromi berkongsi, idea menghasilkan filem bermula penceritaan penulis dari Indonesia, Gawar Sawba’yah mengenai kepercayaan kuno kaum Minahasa, dipercayai bermula sejak kurun ke-16. - NSTP/Hazreen Mohamad
Azaromi berkongsi, idea menghasilkan filem bermula penceritaan penulis dari Indonesia, Gawar Sawba’yah mengenai kepercayaan kuno kaum Minahasa, dipercayai bermula sejak kurun ke-16. - NSTP/Hazreen Mohamad

Azaromi atau mesra disapa Roma berkata, idea menerbitkan filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam digerakkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana hampir semua penggiat industri kreatif berdepan kekurangan sumber kewangan.

"Terima kasih kepada Gawar yang meyakinkan saya mengenai penceritaan kisah etnik Minahasa yang dianggap di luar kotak dan membantu menjayakan penulisan skrip," katanya.

Biarpun filem itu dianggap naskhah seram, Azaromi berkata, beberapa babak dipaparkan dalam filem yang menjalani penggambaran di Lembah Klang selama 20 hari pada Mac 2021 itu tidaklah dihasilkan secara ekstrem kerana terikat garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF).

Pemilik empayar D'Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar, berkata pihaknya tertarik menghasilkan filem seram kerana genre itu menjadi antara kegemaran penonton tempatan dan sering mendapat sambutan baik.

Tambahnya, selepas menerbitkan filem seram Harum Malam, dia percaya Waruga: Kutukan Ilmu Hitam yang menelan kos pembikinan RM1.8 juta mampu memberi hiburan yang baik. Apatah lagi, karya itu diilhamkan daripada kepercayaan kuno.

"Buat masa sekarang, saya sudah dilamar tiga syarikat pengedaran dari Indonesia bagi mengadakan tayangan serentak di republik itu.

"Filem ini juga bakal ditayangkan di negara lain seperti Vietnam, Myammar, Singapura, Brunei dan Filipina.

"Sekurang-kurangnya, dengan kutipan memberangsangkan, mungkin filem ini ada sambungan atau saya terus menghasilkan naskhah seram lain," katanya.

Filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam berkisar seorang penuntut ilmu perubatan tradisional, iaitu Rewan yang tidak dapat menerima kematian isteri.

Rewan merayu kepada Mbah Usu Lijah yang juga guru perubatannya kerana tahu wanita itu memiliki ilmu membangkitkan jasad tanpa roh melalui kitab keturunan kaum Mihanasa.

Bagaimanapun, Mbah Usu Lijah enggan melakukannya kerana Rewan bukan dari keturunan Minahasa. Andai niat itu mahu ditunaikan, ia perlu melalui beberapa fasa.

Sikap tidak sabar Rewan terlalu memuncak hingga dia sanggup mencuri kitab kuno dan membunuh Mbah Usu Lijah.

Berita Harian X