Rabu, 14 Februari 2024 | 7:12pm
Slam tak berkecil hati dengan gelaran ‘band kampung’ sebaliknya berbangga peminat masih menyanyi lagu-lagu mereka. - NSTP/Hazreen Mohamad
Slam tak berkecil hati dengan gelaran ‘band kampung’ sebaliknya berbangga peminat masih menyanyi lagu-lagu mereka. - NSTP/Hazreen Mohamad

'Band kampung' masuk DFP

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga dekad, kumpulan Slam akan membuat persembahan di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) buat julung kali pada 8 Jun depan.

Terharu kepercayaan diberikan, vokalis Slam, Zamani bersama empat anggota Slam teruja meskipun ada pihak yang mendakwa kumpulannya 'band kampung'.

Zamani berkata, mereka tak pernah berkecil hati atau rendah diri dengan panggilan 'band kampung', sebaliknya berbangga tetap diterima baik sehingga kini.

"Alhamdulillah, kami okay sahaja sebab lagu yang dibawa memang begitu. Tak salah ada yang menggelarkan lagu kami 'leman' sebab itulah konsep Slam.

"Kami tak rasa rendah diri sebab sudah lama tampil dengan konsep ini. Itu maknanya peminat faham konsep yang dibawakan.

"Jadi, apabila DFP bersedia nak panggil Slam, maknanya mereka bersedia dengan konsep dan terima kami untuk buat persembahan.

"Tak pernah lagi Slam berkecil hati jika orang menganggap kami 'band kampung', 'leman' dan sebagainya.

"Kami bangga dengan apa yang dibawa sebab sampai sekarang orang boleh terima lagu-lagu Slam," katanya kepada BH Online.

Zamani dan anggota Slam iaitu Shah selaku pemain gitar utama, Eddie (keyboard), Man (pemain dram) dan Lili (bass) ditemui pada sidang media konsert Slam di DFP, petang tadi.

Mengulas mengenai kesihatannya, Zamani berkata, dia optimis semuanya akan berjalan dengan lancar dan cuba menjaga kesihatan demi konsert.

"Kesihatan saya, Alhamdulillah baik setakat ini. Saya harap semuanya berjalan lancar.

"Selepas pembedahan, saya sudah mengadakan dua konsert dan semuanya okay.

"Jujurnya, memang tiada perancangan lain, tapi saya yakin semuanya boleh berjalan lancar. Ketika latihan sekiranya nampak apa yang mungkin boleh memberikan impak, saya akan bersiap sedia.

"Saya akui kesihatan saya tidaklah berada pada tahap 100 peratus baik, tapi bolehlah. Setiap hari saya menyanyi sebab kalau tidak susah nak cari momentum semula.

"Setakat ini, saya tiada buat apa-apa latihan. Saya amalkan praktis menyanyi sahaja.

"Stamina kena ada, tapi kalau ada teknikal yang baik, insya-Allah boleh," katanya.

Zamani optimis semuanya berjalan lancar dan cuba menjaga kesihatan demi konsert. - NSTP/Hazreen Mohamad
Zamani optimis semuanya berjalan lancar dan cuba menjaga kesihatan demi konsert. - NSTP/Hazreen Mohamad

Turut optimis persembahan selama satu jam 30 minit itu akan berjalan dengan lancar adalah pemain gitar utama, Shah.

Shah berkata, mereka tidak pernah mempertikai kebolehan Zamani.

"Ada ketika waktu latihan, kami suruh Zamani rehat. Misalnya, selang beberapa minggu berlatih kami suruh dia berehat. Kita jaga kesihatan masing-masing.

"Tapi, jujurnya bila kita tengok pencapaian Zamani, dia sebenarnya lebih baik daripada kebanyakan penyanyi lain sebab mampu nyanyi lebih dua jam tanpa berhenti.

"Orang hanya nampak Zamani tak sihat, jadi orang pertikaikan kredibilitinya. Baru-baru ini, showcase selama tiga jam, tapi dia okay sahaja.

"Jadi, kami cuma harap masa konsert nanti semuanya berjalan dengan lancar. Saya tahu penyanyi tak macam pemuzik.

"Vokalis perlukan keupayaan dari segi suara, tapi kami tak pernah persoalan kredibiliti Zamani. Sebab bukan senang nyanyi lebih dua jam tanpa henti. Kami percaya kepadanya dan pandai-pandai jaga kesihatan sebab konsert memerlukan tenaga," katanya.

Slam ditubuhkan pada 1993 pernah menghasilkan 11 album. Slam pernah meraih kemenangan, antaranya penghasilan album Kesan Terbukti (1995), Kembali Merindu (1996), Slam Live Konsert Unplugged (1996) dan Dalam Harapan (1998) mencatat jualan platinum, manakala Terbaik Slam ((1996) mencapai 'double platinum'.

Pencapaian lain termasuklah Vokal Terbaik (Lelaki) 1997 dan 1999 dan Anugerah Kembara 1998 di Anugerah Industri Muzik dan Voice of Asia di Kazakhstan pada 1997.

Slam akan menelusuri memori indah dekad 1990-an melalui seleksi lagu-lagu hit seperti Gerimis Mengundang, Tak Mungkin Berpaling, Mentari Muncul Lagi, Manisnya Rindu, Rindiani, Jika Kau Rasa Getarnya dan Kembali Terjalin.

Berita Harian X