Rabu, 14 Februari 2024 | 3:08pm
Nadia menanggung kesedihan lebih setahun apabila berpisah dengan anak sulungnya sehingga terpaksa bergantung kepada ubat tidur gara-gara fikiran terganggu.
Nadia menanggung kesedihan lebih setahun apabila berpisah dengan anak sulungnya sehingga terpaksa bergantung kepada ubat tidur gara-gara fikiran terganggu.

Fasa terpaksa 'tinggalkan' anak paling sakit - Nadia Annuar

KUALA LUMPUR: Bekas pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI), Nadia Annuar mendedahkan kehilangan hak penjagaan anak, Mohamed Aaron Erwin daripada perkahwinan pertama adalah perkara paling menyakitkan dalam hidupnya.

Personaliti berusia 40 tahun itu mendedahkan, dia menanggung kesedihan lebih setahun sehingga terpaksa bergantung kepada ubat tidur gara-gara fikiran terganggu.

Pendedahan dibuat Nadia menerusi siaran 'podcast' membincangkan topik Kehilangan Orang Yang Disayangi di saluran Tenang Is Good kendalian Mimi Fly.

Turut menjadi tetamu undangan, suami kepada pelakon Mira Filzah, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar.

"Bagi saya, kehilangan paling besar dalam hidup adalah kehilangan anak. Bukan sebab meninggal dunia, tapi perceraian. Saya terpaksa meninggalkannya pada waktu itu.

"Saya menanggung derita lebih setahun kerana tidak dapat memeluk dan berjumpa dengannya kerana tidak dibenarkan.

"Itu adalah kehilangan terbesar dalam hidup sehingga saya tidak boleh tidur malam akibat terlalu banyak berfikir. Saya risau bagaimana anak terjatuh tangga atau tiada orang tengokkan, beri makan dan adakah orang akan sayang kepadanya seperti saya.

"Saya juga terpaksa ambil ubat tidur. Orang luar ingat fasa ini mudah, lebih lagi, anak saya baru berusia tiga tahun. Saya tidak boleh mengambilnya kerana tiada kuasa.

"Tapi, apa yang berlaku mengajar saya. Kini, saya gembira fasa itu sudah pun berlalu," kata Nadia dengan linangan air mata.

Anak kepada usahawan Zaiton Hassan atau lebih terkenal dengan panggilan Kak Ton itu berkata, tiada siapa mengetahui penderitaan ditanggung kerana lebih gemar berkongsi soal positif kepada orang ramai.

Nadia (kiri) bersama Mimi Fly dan Wan Emir Astar membincangkan topik Kehilangan Orang Yang Disayangi di saluran Tenang Is Good.
Nadia (kiri) bersama Mimi Fly dan Wan Emir Astar membincangkan topik Kehilangan Orang Yang Disayangi di saluran Tenang Is Good.

Bagaimanapun, kata Nadia, dia bersyukur anak sulungnya yang kini sudah berusia 16 tahun tidak pernah menyalahkannya, sebaliknya mengerti apa yang berlaku.

"Dia tidak pernah salahkan saya kerana tahu apa yang berlaku. Jika berada dalam kedudukan saya, dia pun akan lakukan perkara yang sama.

"Anak minta saya tidak risau kerana kehidupannya baik-baik sahaja. Selama ini, saya tak kongsikan perkara ini secara terbuka kerana lebih suka menunjukkan kehidupan positif.

"Bagi saya, apa yang terjadi dalam hidup pasti ada bahagian positif kerana itu memang menjadi prinsip hidup saya.

"Macam sebiji telur, saya hanya bagi orang nampak bahagian elok sebab saya nak orang belajar benda positif," katanya lagi.

Bagaimanapun, kata Nadia, dia pernah mempersoalkan kenapa perkara itu berlaku kepadanya ketika mula berdepan konflik berkenaan.

Tetapi, katanya, selepas menangis sepuas-puasnya dan fasa marah sudah berlalu, dia akhirnya dapat berfikir secara rasional dan dari situ, barulah dapat cari titik penyelesaian.

"Memang sedih sebab saya tak dapat jumpa anak. Dalam masa sama, saya cari solusi apa yang perlu dibuat. Bila nampak wajah anak, saya merasakan diri ini seperti ibu tak berguna.

"Tapi, anak juga menjadi penguat semangat saya. Dia kata tak mengapa 'mummy' kerana dia tetap sayangkan saya dan tahu saya adalah ibunya.

"Perkataan itu menyembuhkan kelukaan hati dan buatkan saya tersedar kena kuat dan tak boleh bersedih lama-lama," kongsi Nadia.

Terdahulu, Nadia mendirikan rumah tangga bersama Sulaiman @ Mohd Helmi Mohd Ilyasdi, namun perkahwinan berakhir dengan perceraian pada Oktober 2010.

Nadia kemudian mendirikan rumah tangga bersama Hafiz Salleh pada November 2015 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Dya Naylaa, 8. Bagaimanapun, Nadia sekali lagi diuji dengan perceraian apabila mereka berpisah, tahun lalu.

Berita Harian X