Selasa, 13 Februari 2024 | 10:19pm
Azura menyambut ulang tahun kelahiran ke-51 di Hospital Ampang selepas mengalami demam denggi. - Foto Facebook Azura Aziz
Azura menyambut ulang tahun kelahiran ke-51 di Hospital Ampang selepas mengalami demam denggi. - Foto Facebook Azura Aziz

Azura sambut ulang tahun 51 atas katil hospital

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1990-an, Azura Aziz menyambut ulang tahun kelahirannya ke-51 di Hospital Ampang, Selangor selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu 9 Februari lalu akibat demam denggi.

Meskipun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan, Azura meluahkan rasa syukur kerana masih diraikan teman-teman serta keluarga tersayang.

"Ini adalah kali pertama saya menyambut ulang tahun kelahiran di hospital. Nak buat macam mana sudah nasib.

"Apapun saya bersyukur kerana mempunyai sahabat yang ikhlas menyayangi dan mendoakan.

"Suami pun hari-hari jenguk saya sambil bawa sup ketam yang dia masak sendiri. Sedap sangat.

Azura meluahkan rasa syukur masih diraikan keluarga dan rakan-rakan tersayang. - Foto Facebook Azura Aziz
Azura meluahkan rasa syukur masih diraikan keluarga dan rakan-rakan tersayang. - Foto Facebook Azura Aziz

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya," katanya kepada BH Online.

Berkongsi keadaan dirinya, penyanyi lagu Bukan Ku Tak Sayang Lagi itu memaklumkan, dia kini semakin pulih dan berharap dapat pulang ke rumah secepat mungkin.

"Simptom awal jangkitan adalah saya rasa lemah seluruh badan, sakit kepala tiga hari berturut-turut dan mengalami muntah serta cirit birit.

"Selera makan juga hilang dan mengalami demam berpanjangan. Disebabkan demam tak kebah dan mengalami muntah serta cirit birit berterusan, saya terus pergi ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

"Sekarang saya agak okay, cuma platelet darah turun 65. Harap-harap saya dapat balik esok," luah Azura.

Terdahulu, Azura berkongsi perkembangan terkini dirinya di Facebook (FB) serta beberapa hantaran lain yang memaparkan majlis sambutan ulang tahun kecil-kecilan yang diadakan di wad tempatnya dirawat.

Berita Harian X