Selasa, 13 Februari 2024 | 3:03pm
Hasty Klepek (kiri) dan Rheyna Morena tetap bersyukur dengan peluang diberikan membuat persembahan di Malaysia walaupun terpaksa akur dengan peraturan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Hasty Klepek (kiri) dan Rheyna Morena tetap bersyukur dengan peluang diberikan membuat persembahan di Malaysia walaupun terpaksa akur dengan peraturan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Hasty Klepek, Rheyna Morena takut 'bergelek' sakan

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi dangdut dari Indonesia, Hasty Klepek dan Rheyna Morena terpaksa mengehadkan gelekan kerana akur dengan peraturan melarang sebarang aksi keterlaluan ketika membuat persembahan di Malaysia.

Bagi Hesty atau nama sebenar, Hesty Aryatura, dia takut berlebihan mahu bergelek, malah memilih mengenakan pakaian tidak terlalu seksi kerana menghormati permintaan penganjur ketika tampil dalam Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Klepek Klepek itu berkata, dia tetap bersyukur dengan peluang diberikan untuk membuat persembahan di Malaysia.

"Saya sedikit takut bergoyang (bergelek) dan saya juga tahu pakaian harus tertutup, jadi untuk persembahan kali ini saya kurang bergoyang.

"Bagaimanapun, saya lebihkan kepada audiens supaya mereka seronok dengar saya menyanyi," katanya kepada BH Online.

Barisan penyanyi Malaysia dan Indonesia yang menjayakan Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Barisan penyanyi Malaysia dan Indonesia yang menjayakan Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sementara itu, Rheyna turut meluahkan perkara sama, namun dia tetap menghargai peluang untuk menjayakan konsert di Malaysia dengan memberikan persembahan terbaik.

"Kami cuba berikan persembahan terbaik supaya orang tidak menganggap dangdut ini seburuk yang mereka fikir. Dangdut ini okay dan seronok.

"Kami puas kalau penonton puas menikmati persembahan. Kami juga cuba menyesuaikan mengikut keadaan di Malaysia dan bertindak profesional," katanya.

Menerusi Konsert Milenia 2024, Hesty menghiburkan penonton dengan lagu Klepek Klepek, Cikini Gondangdia dan Rungkad, manakala Rheyna tampil dengan lagu Dayuni Ojo Dibanding Ko dan Seperti Mati Lampu.

Konsert anjuran Mission Sight Sdn Bhd itu turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi jolokan Ratu Dangdut, Amelina bersama beberapa rakan seperjuangan seperti Mas Idayu, Ani Mayuni dan Baby Shima termasuk penyanyi dari Indonesia, Thomas Arya.

Berita Harian X