Isnin, 12 Februari 2024 | 4:11pm
Lagu baharu dendangan Adam berjudul Izin sudah dilancarkan di semua platform digital. Foto Ihsan Warner Music Malaysia
Lagu baharu dendangan Adam berjudul Izin sudah dilancarkan di semua platform digital. Foto Ihsan Warner Music Malaysia

Adam Lee bawa isteri dalam klip video single baharu

KUALA LUMPUR: Pelakon Adam Lee terus mencuba nasib dalam bidang nyanyian apabila tampil dengan single kedua berjudul Izin yang menampilkan isterinya, Sweet Qismina sebagai watak utama dalam video muzik lagu berkenaan.

Adam atau nama sebenar, Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee berkata, lagu ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito itu menggambarkan perasaan yang rumit dalam sesuatu perhubungan.

"Setiap kata dalam lirik menggambarkan perjalanan cinta yang penuh liku dan kerinduan yang mendalam.

"Lagu ini menawarkan pendengar perjalanan emosional yang dapat terhubung dengan pengalaman hidup mereka sendiri dalam percintaan.

Adam menampilkan isterinya, Sweet dalam video muzik single Izin. Foto IG Adam Lee
Adam menampilkan isterinya, Sweet dalam video muzik single Izin. Foto IG Adam Lee

"Dengan muzik yang menangkap halwa telinga dan lirik memukau, saya berharap lagu ini boleh memberikan pengalaman mendalam bagi pendengar dan peminat saya," katanya.

Pada masa sama, penerima trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini berterima kasih kepada isterinya atas kesudian untuk terbabit dalam pembikinan video muzik lagu Izin.

"Saya berterima kasih kepada isteri saya kerana bersetuju untuk memainkan peranan sebagai watak utama dalam video muzik ini.

"Video muzik kali ini juga hanya memakan masa selama satu hari penggambaran kerana jalan ceritanya yang ringkas dan menarik," katanya.

Sebelum ini, Adam pernah berduet bersama Sweet atau nama sebenar, Farhanna Qismina Supandi menerusi lagu Tercipta yang dilancarkan sempena perkahwinan mereka pada Oktober 2022.

Izin sudah dilancarkan di semua platform penstriman digital, manakala video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia.

Berita Harian X