Isnin, 12 Februari 2024 | 3:00pm
Platform TikTok dan YouTube jadi ruang Ady cari rezeki. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Platform TikTok dan YouTube jadi ruang Ady cari rezeki. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ady, anggota Wow tak pernah bermusuhan

KUALA LUMPUR: Penggunaan platform digital secara meluas termasuk medium media sosial dilihat menjadi penyelamat kepada industri muzik yang lumpuh akibat penularan pandemik COVID-19 sejak tiga tahun lalu.

Sama ada suka ataupun tidak, penggiat industri seni tanpa mengira usia perlu membiasakan diri dengan platform digital demi kelangsungan hidup.

Antara mereka yang memanfaatkan dua pelantar popular, TikTok dan YouTube sebagai punca pendapatan adalah penyanyi kumpulan Wow iaitu Ady.

Mula berjinak-jinak dengan saluran YouTube dan aplikasi TikTok sejak setahun lalu, Ady, 56, meluahkan rasa syukur apabila dua pelantar itu menjadi ruang untuknya mencari rezeki.

"Alhamdulillah, rezeki saya banyak bergantung kepada media sosial. Selain saluran YouTube, saya juga aktif dalam aplikasi TikTok sejak tahun lalu. Kandungan saya lebih kepada menyanyi secara 'live'.

"Kadang-kadang saya menyanyi sampai tiga jam. Ada ketika saya ditemani isteri sebab dia juga boleh menyanyi. Cuma, isteri tak nak menyanyi depan kamera sebab malu.

"Selain itu, ada juga sesi sembang bersama pengikut. Bila bersembang, ada juga pertanyaan bukan-bukan keluar. Biasanya saya akan sekat sahaja pengguna yang biadap," katanya kepada BH Online.

Sebagai penyanyi era 1990-an, Ady mengakui terkejut kerana ada antara peminatnya daripada golongan remaja yang belum lahir ke dunia ketika dirinya mengecapi zaman kegemilangan.

"Memang terkejut apabila anak-anak remaja ini mengakui meminati lagu saya. Mereka kenal lagu saya menerusi bapa, jadi mereka membesar dengan lagu saya.

"Walaupun sudah lebih tiga dekad lagu Kau Yang Satu dan Engkau Tetap Satu dihasilkan, namun ia masih didengari hingga hari ini dan menjadi malar segar.

"Terima kasih kepada stesen radio yang masih putarkan lagu saya, sekali gus membuatkan nama saya masih terus diingati," luahnya.

Berkongsi perkembangan kerjayanya, Ady memaklumkan dia kini lebih selesa bergerak secara solo sejak meninggalkan band itu lebih tiga dekad lalu.

"Saya tinggalkan Wow selepas album kedua untuk bergerak solo. Masa buat solo, syarikat rakaman pula tutup.

"Saya mencari rezeki dengan membuat persembahan di hotel. Sejak itu hinggalah sekarang, kami membawa haluan sendiri.

"Ada anggota Wow yang menguruskan perniagaan dan merantau di tempat orang selepas berkahwin. Hanya saya dan Is sahaja yang masih aktif dalam bidang muzik.

"Tak dinafikan, memang ada yang tawarkan untuk Wow kembali bergabung untuk konsert. Namun, hasrat ini agak sukar untuk dilaksanakan disebabkan terikat dengan komitmen.

"Saya sendiri sibuk dengan kerja-kerja saya," ujarnya.

Ady (tengah) tinggalkan Wow selepas album kedua untuk bergerak solo.
Ady (tengah) tinggalkan Wow selepas album kedua untuk bergerak solo.

Ditanya adakah wujud perselisihan faham antara ahli Wow menyebabkan mereka seperti berkerat rotan dan berpatah arang, Ady menepis spekulasi nakal itu.

"Hubungan kami masih baik, tak bergaduh pun. Cuma, kami semua sibuk dengan urusan masing-masing.

"Insya-Allah, saya akan muncul dengan album baharu yang mengandungi 10 lagu yang semuanya dihasilkan sendiri dengan kerjasama seorang rakan.

"Saya dapat tahu, Is juga akan tubuhkan band sendiri dan akan menggunakan nama Wow. Walaupun nama Wow itu milik saya, tapi tak kisah jika Is masih nak gunakan nama itu.

"Bagi saya, rezeki masing-masing dan tak perlu nak berebut nama," ungkapnya.

Terdahulu, Ady menghadiri sidang media Konsert Makan Malam Kesadaran Amal untuk Madrasah Al-Muqwa di sebuah restoran di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persembahan berkonsepkan amal itu bertujuan mencari dana bagi membantu Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor yang berdepan masalah kewangan sejak pandemik COVID-19 melanda.

Selain Ady, konsert yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 17 Februari ini turut menyaksikan persembahan hebat Datuk Awie, Ali XPDC, Ijam Medicine, manakala Faizal Ismail dan Mawi bertindak sebagai pengacara.

Sebelum ini, Ady pernah menetap di Sabah dan menjalankan perniagaan pengurusan acara dan membuka kedai muzik.

Kejayaan lagu malar segar, Kau Yang Satu dan Engkau Tetap Satu mendorong Ady untuk menghasilkan lagu berunsur ketuhanan dalam album terbaharunya.

Berita Harian X