Isnin, 12 Februari 2024 | 2:56pm
Ciapan Naim yang mendakwa pemakaian jubah adalah cara paling mudah untuk ‘membutakan’ mata orang ramai, menarik perhatian netizen hingga ada yang menganggap dirinya anti golongan agamawan. Foto NSTP Naim Daniel
Ciapan Naim yang mendakwa pemakaian jubah adalah cara paling mudah untuk ‘membutakan’ mata orang ramai, menarik perhatian netizen hingga ada yang menganggap dirinya anti golongan agamawan. Foto NSTP Naim Daniel

Usah cemar nilai murni dengan jadi penunggang agama - Naim Daniel

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel menjelaskan ciapan berbaur sindiran menyentuh individu berjubah yang dimuat naik di platform X, baru-baru ini, bukanlah bermakna dia anti golongan bergelar agamawan.

Sebaliknya, Naim, 27, mendakwa entri itu adalah luahan peribadi terhadap pihak yang gemar menjadikan penampilan sedemikian sebagai 'topeng' melindungi kejahilan diri,

"Saya fikir perkara paling cepat untuk menarik perhatian orang adalah melalui agama, air mata dan harta. Apabila orang salah gunakan imej berjubah untuk mengaburi mata orang yang memandang dan menyangka, apa yang dibuat adalah betul, saya rasakan perkara itu sangat tidak adil buat semua.

"Situasi itu memberi perasaan kurang senang kepada pihak yang ikhlas dalam perbuatan mereka. Hari ini, kita selalu nampak mereka yang ada penampilan seperti itu sering dianggap betul, walaupun, hakikatnya, perbuatan mereka itu salah.

"Secara tidak langsung, ia memberi tanggapan buruk kepada mereka yang berjubah. Jika saya boleh ada persepsi seperti itu, tidak mustahil ada ramai lagi orang berkongsi perasaan serupa.

"Harus diingat tidak semua salah laku kita boleh ditutup dengan penampilan suci kita. Janganlah cemar imej murni itu dengan menjadi penunggang agama... Tidak bagus," katanya ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri terbitan Astro Shaw, Project: Exit, baru-baru ini.

Meskipun kenyataan itu dibuat secara terbuka, namun, Naim percaya tidak semua mereka yang berjubah, bersikap seperti didakwa.

"Saya tidak pukul rata dengan menganggap semua yang berjubah sama sahaja sikap mereka. Masih ada lagi yang keperibadiannya selari dengan imej ditampilkan. Contohnya, Uztaz Don Daniyal yang saya fikir personalitinya menepati gaya pemakaiannya.

"Lagipun, apabila kita berjubah tanggungjawabnya lebih berat. Apa sahaja yang dibuat, pasti akan dipersoal. Justeru, jika kita hendak bawa imej itu, kenalah sentiasa berhati-hati supaya tidak disalah anggap yang akhirnya memberi kesan yang lebih buruk lagi," katanya.

Sebelum ini, ciapan Naim yang mendakwa pemakaian jubah adalah cara paling mudah untuk 'membutakan' mata orang ramai, menarik perhatian netizen hingga ada yang menganggap pelakon drama Rombongan Cik Kiah Ke AJL itu anti golongan agamawan.

Sementara itu, mengulas pembabitan dalam drama Project: Exit, Naim atau nama penuh, Muhammad Naim Daniel Baharin sanggup membotakkan kepala demi menghidupkan watak Ucop.

"Watak Ucop terbabit dalam kegiatan menjual dadah hingga dimasukkan ke rumah pemulihan akhlak. Untuk memberi kelainan watak Ucop, saya diminta mengorbankan rambut.

"Sebelum ini, banyak drama yang saya lakonkan, saya ubah penampilan. Jadi, apa salahnya untuk watak Ucop ini, saya botakkan kepala. Alhamdulillah, bayaran yang diterima pun setimpal dengan pengorbanan dibuat," katanya.

Selain Naim, drama enam episod yaang mengangkat isu sosial di asrama pemulihan akhlak dibintangi Nabila Huda, Mierul Aiman, Shasha Abedul, Kimberly Chuah dan ramai lagi.

Berita Harian X