Isnin, 12 Februari 2024 | 1:00pm
Gordon Lam dan Maggie Cheung hadir ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem komedi berjudul Rob N Roll. - NSTP/Hazreen Mohamad
Gordon Lam dan Maggie Cheung hadir ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem komedi berjudul Rob N Roll. - NSTP/Hazreen Mohamad

Wajah jadi 'tadahan air liur' demi Rob N Roll

KUALA LUMPUR: Sempena Tahun Baharu Cina, syarikat produksi Mega Film Distributions tampil dengan filem komedi berjudul Rob N Roll.

Dibintangi bintang popular dari Hong Kong, Aaron Kwok, Gordon Lam dan Maggie Cheung, ia ditayangkan sejak Khamis lalu di seluruh pawagam tempatan sempena menyambut kehadiran Tahun Naga.

Hadir ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem Rob N Roll, Lam dan Cheung sangat gembira bersama mempromosikan filem.

Lam dan Cheung sebelum ini pernah bekerjasama di TVB menerusi pelbagai naskhah klasik.

Mengulas mengenai filem, Lam berkata, antara cabaran utama menjayakan watak Robby adalah menelan air liur rakannya, Kwok yang memakai gigi palsu demi menyuntik kelainan bagi watak Mui Lam Tin.

Lam berkata, dia juga terpaksa menahan ketawa kerana wajah kelakar Kwok sepanjang penggambaran gara-gara gigi palsu yang menjadikannya sedikit 'jongang' dan pelik.

"Saya rasa semua juga sedia maklum, Kwok memberi lakonan yang terbaik dalam setiap watak. Bila Kwok buat keputusan pakai gigi palsu dalam filem Rob N Roll, saya fikir dia membina karakternya sendiri.

"Apa yang kelakarnya, wajah saya menjadi tadahan air liur yang keluar tanpa henti setiap kali kami mempunyai babak berdialog sama. Saya tak boleh berhenti ketawa.

"Tetapi, kami tetap profesional dan masing-masing tahu bagaimana mahu mengawal emosi dan perwatakan. Cuma itulah, Kwok tak pandai mengawal air liurnya," katanya.

Kwok sepatutnya hadir menyertai Lam mempromosikan filem di Kuala Lumpur, namun hasratnya terpaksa dibatal pada saat akhir disebabkan masalah kesihatan dan mendapat nasihat doktor untuk berehat.

Mengulas lanjut, pelakon berusia 56 tahun itu berkata, walaupun diwarnakan dengan elemen komedi, watak Robby membawa suara golongan marhain yang tersepit dalam keadaan ekonomi dunia.

Tambahnya, Robby dijelmakan sebagai lelaki yang memendam perasaan sendiri dan terpaksa berkorban tenaga, masa dan emosi demi melawan stigma masyarakat yang lelaki harus kuat.

"Robby membawa suara kecil golongan lelaki yang tertekan oleh keadaan ekonomi dan keluarga. Saya harap semua orang tidak hanya terhibur dengan satira dibawakan dalam filem ini.

"Dalam pada masa sama, perlu memahami perasaan, tanggungjawab dan emosi seorang lelaki. Selepas anda menonton filem ini dan masih beranggapan lelaki harus sentiasa kuat, fikir semula," katanya.

Tambah Lam lagi, dia mula merasakan perkahwinan adalah sesuatu yang menakutkan terutama selepas menjayakan watak Robby.

"Saya rasa apabila seseorang lelaki sudah mencapai usia tertentu, namun keadaan ekonomi dan kewangan tidak stabil, ia bukan mudah untuk mereka mencuba serta membuka perniagaan lain.

"Dalam pada masa sama, mereka perlu menjaga keluarga. Itu memberi tekanan, bukannya mudah. Tetapi tidak bererti mereka tidak memahami tanggungjawab dan peranan.

"Saya diri sendiri, adakah mahu teruskan kehidupan seperti ini? Fikir semula. Saya rasa hidup sendiri lebih selesa," katanya.

Tiga watak utama bergelut dengan masalah hidup sehingga membuat keputusan melakukan rompakan besar-besaran.
Tiga watak utama bergelut dengan masalah hidup sehingga membuat keputusan melakukan rompakan besar-besaran.

Bagi Cheung, peranan sebagai pegawai polis memberi impak berbeza terutama kali pertama menjayakan watak berkenaan.

Bukan tidak pernah menerima tawaran sebagai pegawai polis, tetapi Cheung sangat takut dengan aksi tembak menembak.

"Bagi saya, watak memerlukan aksi tembak menembak ini sememangnya bukan untuk saya. Tetapi, saya mahu mencuba.

"Saya beranikan diri untuk filem Rob N Roll. Tapi, bayangkan saya terpaksa berulang kali mengingati skrip kerana takut dengan bunyi tembakan. Mungkin saya pernah mati berulang kali kerana ditembak pada kehidupan lalu.

"Saya rasa seperti sudah mati sebelum saya menembak dalam filem ini," katanya yang membawakan karakter Ginger.

Perkara itu juga dikongsikan oleh Cheung ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Rob N Roll di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Disebabkan ketakutan itu, Cheung membeli insurans untuk keseluruhan tubuhnya termasuk kulit demi memastikan keselamatan dan ketenteraman ketika penggambaran.

"Saya pernah tengok seorang pelakon lelaki cedera teruk ketika menjalani penggambaran filem aksi dan hanya boleh mendengar satu telinga sahaja sekarang.

"Jadi, saya perlukan persediaan. Menjayakan watak aksi bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya gembira kerana berjaya melalui penggambaran tanpa kecederaan," katanya.

Rob N Roll diterbitkan oleh Er Dongsheng dan diarahkan oleh sutradara, Albert Mak.

Rob N Roll berkisarkan bekas ahli gusti, Mui Lam-tin (Aaron Kwok) yang bergelut dengan masalah hidup sehingga membuat keputusan dengan memberanikan diri merentas lautan ke Hong Kong untuk melakukan rompakan besar-besaran.

Bersama rakan-rakannya, Robby (Gordon Lam) dan Mo-yung Fai (Richie Ren) yang juga pekerja sosial rumah jagaan, mereka secara tidak sengaja membentuk pasukan perompak untuk mendapatkan wang.

Rompakan membawa mereka 'berkenalan' dengan pegawai polis, Ginger (Maggie Cheung) yang nekad mahu menangkap mereka.

Berita Harian X