Ahad, 11 Februari 2024 | 6:29pm
Elvina terdetik mahu tarik diri selepas kerap berdepan gangguan mistik ketika penggambaran filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di Pulau Carey. - NSTP/Hazreen Mohamad
Elvina terdetik mahu tarik diri selepas kerap berdepan gangguan mistik ketika penggambaran filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di Pulau Carey. - NSTP/Hazreen Mohamad

Diganggu bayangan hitam, Elvina kerap ditindih, sukar bernafas

PETALING JAYA: Pelakon Datin Elvina Mohamad, 29, mendedahkan dirinya pernah berdepan gangguan mistik ketika kali pertama membintangi filem bergenre seram.

Elvina atau nama sebenarnya, Norzalina Mohamad berkata, dirinya juga beberapa kali 'ditindih' sepanjang penggambaran filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam walaupun berehat pada waktu siang.

"Kami menjalani penggambaran filem di Pulau Carey, Klang. Kita semua memang tahu lokasi penggambaran agak 'keras'. Jadi, memang ada orang yang beritahu untuk jaga mulut bila ke sana.

"Saya jaga kelakuan, malah tidak banyak bercakap. Namun, hujung-hujung saya kena juga. Saya pernah nampak dua orang pada masa yang sama.

"Saya 'shaking' dan tak boleh nak teruskan, jadi saya minta rehat sekejap. Saya kena kacau pada hari terakhir penggambaran.

"Bukan itu sahaja, saya banyak kali kena tindih, tak boleh bernafas, nampak seperti bayangan hitam sepanjang penggambaran. Walaupun berehat pada waktu siang sebab banyak 'shoot' petang sampai subuh, jadi waktu tidur juga berubah," katanya kepada BH Online.

Tambah Elvina, sebenarnya bukan dirinya sahaja terkena gangguan, sebaliknya seluruh warga produksi sehingga membuatkan mereka perlu berehat seketika.

"Sejak awal memang satu demi satu kejadian berlaku, seolah-olah ada yang tidak benarkan kami 'shoot' di situ seperti cermin kereta pecah dan sebagainya.

"Bila jadi begitu, kami 'break' sekejap untuk buat doa selamat dan solat hajat untuk memudahkan penggambaran.

"Sebab banyak sangat kejadian berlaku. Malah, saya pernah ada rasa nak kena tarik diri dan takut 'benda' ini kacau hingga rumah.

"Tapi, macam mana pun kena teruskan sebab sudah tandatangani kontrak," katanya.

Elvina bersama barisan pelakon ketika majlis tayangan media filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC The Starling, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Elvina bersama barisan pelakon ketika majlis tayangan media filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC The Starling, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Justeru, Elvina berkata, dia tidak terus berjumpa dengan anak-anaknya setiap kali pulang ke rumah.

"Saya tak tahu selepas ini berani atau tidak nak ambil kisah seram. Untuk 'shoot' ini pun setiap hari saya ulang alik, dan balik memang tak jumpa anak.

"Rindu pun tak mengapa sebab saya tak mahu apa-apa berlaku pada mereka. Balik rumah pun saya pastikan mandi dan sebagainya," katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu ditemui pada majlis tayangan media filem terbaharunya, Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC The Starling, di sini, baru-baru ini.

Bakal ditayangkan di pawagam pada 15 Februari ini, filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam menampilkan barisan pelakon seperti Zahiril Adzim, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama, Adik Putri Amirah Maisara dan Adik Syed Irfan.

Mengisahkan penuntut ilmu perubatan tradisional, Rewan (Sahronizam) yang tidak dapat menerima kematian isterinya. Rewan berguru dengan Mbah Usu Lijah kerana dia tahu Mbah Usu Lijah memiliki ilmu membangkitkan jasad tanpa roh melalui kitab keturunan kaum Mihanasa.

Berita Harian X