Ahad, 11 Februari 2024 | 5:01pm
Aiman hilang sabar apabila penganjur ‘funfair’ di Sabah menipu dan gagal menjelaskan hutang tertunggak. - Foto NSTP
Aiman hilang sabar apabila penganjur ‘funfair’ di Sabah menipu dan gagal menjelaskan hutang tertunggak. - Foto NSTP

Aiman nak saman penganjur 'funfair' di Sabah liat bayar hutang

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aiman Tino menyuarakan perasaan tak puas hati selepas lebih setahun menunggu baki bayaran persembahan di Sabah masih belum dilunaskan.

Meluahkan menerusi Instagram (IG), Aiman berkata, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur acara di Sabah jika hutang tidak diselesaikan secara penuh.

"Saya mencari pasangan suami isteri, orang Sabah yang juga penganjur 'funfair' di Sabah yang berhutang dan mendiamkan diri sehingga kini.

"Tujuan saya membuat hantaran ini untuk mencari penganjur 'funfair' yang masih berhutang sejak 2022," katanya.

Dalam hantaran yang sama, Aiman turut memuat naik gambar bukti usaha dilakukan untuk mendapatkan baki bayaran daripada penganjur berkenaan.

"Pelbagai alasan diberi untuk mengelakkan diri daripada terus berhubung dengan saya sampai hari ini.

"Saya sudah mesej berkali-kali minta hutang yang tidak selesai lagi, tetapi tidak mendapat sebarang respon atau mesej balasan.

"Saya hubungi banyak kali, tidak angkat. Mesej tak berbalas, ini ke cara orang berhutang dan buat tidak tahu sedangkan masih bergiat aktif buat acara di Sabah sehingga hari ini?

"Kenapa mesej atau panggilan saya tak balas? Hanya baca sahaja apa yang saya hantar," katanya.

Aiman muat naik bukti perbualan dengan penganjur ‘funfair’ yang masih belum melunaskan baki bayaran persembahannya pada 2022. - Foto IG Aiman Tino
Aiman muat naik bukti perbualan dengan penganjur ‘funfair’ yang masih belum melunaskan baki bayaran persembahannya pada 2022. - Foto IG Aiman Tino

Disebabkan rasa ditipu dan dikhianati, Aiman menuntut penganjur berkenaan menyelesaikan keseluruhan hutangnya dan tidak akan memadam hantaran itu sehingga hutangnya diselesaikan.

"Saya ada semua bukti mesej, tolong jangan putar belit. Saya tidak akan padam hantaran ini sehingga ahli keluarga atau wakil penganjur hubungi saya dan membuat bayaran hutang dengan penuh.

"Saya juga tidak teragak agak untuk bawa kes ini ke mahkamah," katanya.

Dalam bukti bergambar, penganjur berkenaan berjanji untuk menyelesaikan baki bayaran persembahan Aiman di Sabah yang berlangsung pada 1 November 2022.

Berita Harian X