Ahad, 11 Februari 2024 | 3:00pm
Tiada apa yang lebih bermakna buat Kimberly selain dapat berkumpul bersama keluarga meraikan Tahun Baharu Cina, namun tahun ini terikat dengan penggambaran drama Project: Exit. - - NSTP/Nur Raihana Alia
Tiada apa yang lebih bermakna buat Kimberly selain dapat berkumpul bersama keluarga meraikan Tahun Baharu Cina, namun tahun ini terikat dengan penggambaran drama Project: Exit. - - NSTP/Nur Raihana Alia

3 tahun Kimberly Chuah tak sambut Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR: Demi komitmen terhadap kerja, pelakon Kimberly Chuah mendedahkan masuk tahun ketiga tidak dapat meraikan perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga tercinta.

Meskipun agak terkilan kerana dia adalah anak tunggal dalam keluarga, namun pemilik nama sebenar, Kimberly Chuah Ching Li, 24, meluahkan rasa syukur kerana ibunya amat memahami dan menjadi penyokong kuat kerjaya seninya sejak awal lagi.

"Masuk tahun ini sudah tiga tahun saya tidak dapat menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga. Dua tahun lalu saya sibuk di lokasi penggambaran, manakala tahun lepas saya berada di Perlis atas tujuan sama.

"Tahun ini pula saya terikat dengan penggambaran drama Project: Exit. Apapun, saya bersyukur dan berterima kasih kepada ibu kerana memahami dan begitu menyokong minat saya sejak dari awal pembabitan dalam dunia lakonan.

"Bila tak dapat beraya bersama keluarga dan saudara mara, memanglah tak dapat angpau, tapi saya dapat gaji (ketawa)," kata Kimberly yang juga pempengaruh media sosial kepada BH Online.

Kimberly bersyukur ibunya amat memahami dan menjadi penyokong kuat kerjaya seninya sejak awal lagi. - NSTP/Nur Raihana Alia
Kimberly bersyukur ibunya amat memahami dan menjadi penyokong kuat kerjaya seninya sejak awal lagi. - NSTP/Nur Raihana Alia

Ditanya apakah keistimewaan perayaan Tahun Baharu Cina di matanya, pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi peraduan Dewi Remaja 2022 itu memaklumkan tiada apa yang lebih bermakna selain dapat berkumpul bersama keluarga.

"Kalau hari-hari biasa, pantang ada masa terluang, kita akan lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan dan melepak dengan mereka hingga tak ada masa nak jenguk keluarga.

"Jadi, bila tiba musim perayaan, kita akan lebih menghargai saat-saat manis berkumpul bersama keluarga dan saling bertanya khabar antara satu sama lain. Momen itulah yang jarang kita dapat pada hari-hari biasa.

"Biasanya, saya dan ibu akan pergi ke rumah ibu saudara bila musim perayaan. Saya memang suka makan dan secara kebetulan, rumah ibu saudara memang banyak sajikan kuih.

"Jadi, saya akan makan semua jenis kuih yang dihidangkan termasuk biskut Almond yang menjadi kegemaran saya," ungkap Kimberly ditemui di set penggambaran drama Project: Exit, kelmarin.

Drama terbitan Astro Shaw itu menyaksikan Kimberly memegang watak Amy yang menjadi penghuni pusat pemulihan akhlak.

Selain Kimberly, drama arahan Zulaikha Zakaria itu turut membariskan pelakon handalan seperti Nabila Huda, Shasha Abedul, Naim Daniel, Mierul Aiman dan ramai lagi.

Berita Harian X