Ahad, 11 Februari 2024 | 1:00pm
Ali mengamalkan makanan sunnah sebagai rawatan alternatif berikutan masalah kesihatan masih belum pulih sepenuhnya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ali mengamalkan makanan sunnah sebagai rawatan alternatif berikutan masalah kesihatan masih belum pulih sepenuhnya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ali XPDC hadapi masalah gagap, sukar nyanyi lagu tinggi

KUALA LUMPUR: Susulan diserang penyakit angin ahmar dua tahun lalu, penyanyi Ali XPDC mengakui mengalami kesukaran menyanyikan lagu bernada tinggi, selain masalah gagap.

Meskipun situasi itu membimbangkannya, namun Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail, 56, berkata dia reda jika keadaan itu berterusan.

"Saya masih boleh menyanyi, tapi ada ketika stamina 'pancit' juga. Saya juga ada masalah kalau nak nyanyi lagu bernada tinggi.

"Jadi, bila nak menyanyi lagu tinggi, saya kena turunkan 'key'. Kalau ikutkan, saya memang tak puas hati sebab sudah biasa tarik suara tinggi. Tapi, setakat jeritan yang menjadi 'tanda dagang' saya itu bolehlah sikit-sikit.

"Peminat kenalah reda bila keadaan ini berlaku. Saya pun kena reda juga sebab kalau saya paksa juga dalam keadaan suara seperti ini, takut lagi suara bertambah teruk dan susahlah nak baik," katanya kepada BH Online.

Pada Mac 2022, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang apabila didapati tidak bermaya ketika mahu makan selesai berlatih di studio pemain bes XPDC, Eddie di Pandan Indah.

Ketika itu, Ali dan XPDC giat berlatih sebagai persiapan Konsert Jualan Hitam 2022.

Ali (kiri) bersama Faizal Ismail, Ady Wow dan Ijam Medicine bakal menjayakan Majlis Makan Malam Kesadaran Amal 2024 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Sabtu ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ali (kiri) bersama Faizal Ismail, Ady Wow dan Ijam Medicine bakal menjayakan Majlis Makan Malam Kesadaran Amal 2024 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Sabtu ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Berikutan masalah kesihatan masih belum pulih sepenuhnya, bekas vokalis kumpulan Terra Rossa itu mengamalkan makanan sunnah sebagai rawatan alternatif.

"Saya tiada buat rawatan susulan di hospital, tapi saya hanya amalkan makanan sunnah seperti Habbatus Sauda," ujarnya ditemui pada sidang media Majlis Makan Malam Kesadaran Amal 2024, baru-baru ini.

Konsert yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Sabtu ini adalah untuk membantu Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor yang menghadapi masalah kewangan akibat pandemik COVID-19.

Ali akan menjayakan konsert berkonsepkan Islamik itu bersama empat rakan rockers lain iaitu Datuk Awie, Ijam Medicine, Ady Wow dan Anjang Terra Rossa.

"Selain menyanyikan lagu XPDC, mungkin ada juga lagu daripada kumpulan Terra Rossa. Saya nyanyi santai sahaja malam itu.

"Saya harap semua peminat dapat hadir beramai-ramai menyokong acara amal ini," pinta Ali.

Berita Harian X