Sabtu, 10 Februari 2024 | 5:44pm
Misya (kiri) langsung tidak buka mulut selepas berita perkahwinan suaminya, Aslam dan Marissa di Songkhla tular sejak Rabu lalu.
Misya (kiri) langsung tidak buka mulut selepas berita perkahwinan suaminya, Aslam dan Marissa di Songkhla tular sejak Rabu lalu.

'Sesulit apapun keadaan, ajari hati terima tanpa membenci' - Misya

KUALA LUMPUR: Selepas mengunci mulut, 'madu' kepada Marissa Dania Hakim iaitu Misya Mazlan akhirnya bersuara menerusi hantaran dimuat naik dalam Instagram Stories (IGs).

Ibu kepada dua cahaya mata itu mengucapkan terima kasih atas doa yang baik dititipkan warga netizen ke atasnya.

"Semakin ikhlas semakin tenang. Belajarlah untuk berlapang dada kerana tidak semua yang kita inginkan itu yang terbaik menurut Allah.

"Sesulit apapun keadaanmu, ajarilah hatimu agar bisa menerima keadaan tanpa membenci.

"Terima kasih doa yang baik dan kata-kata semangat yang indah," tulisnya bersama gambar berlatarkan Madinah.

Sejak berita pernikahan suaminya Aslam bersama anak kepada pasangan selebriti, Abby Abadi dan bekas suaminya, Norman Hakim di Songkhla, Thailand tular sejak Rabu lalu, Misya langsung tidak membuka mulut.

Bagaimanapun, wanita itu dilihat ada berkongsi ungkapan sedih dalam aplikasi TikTok.

Terdahulu, Marissa dan Aslam dikatakan sudah mendirikan rumah tangga secara senyap pada 27 Disember lalu ketika Misya sedang menunaikan umrah.

Misya akhirnya bersuara menerusi hantaran dalam IGs dengan mengucapkan terima kasih atas doa yang baik dititipkan netizen kepadanya. - Foto IG Misya Mazlan
Misya akhirnya bersuara menerusi hantaran dalam IGs dengan mengucapkan terima kasih atas doa yang baik dititipkan netizen kepadanya. - Foto IG Misya Mazlan

Pendedahan dibuat disahkan kakak Misya, Nadiah Mazlan.

Pada September lalu kecoh dalam media sosial apabila Misya tampil membongkar dakwaan kisah kecurangan suaminya dengan Marissa.

Misya menerusi satu hantaran dalam media sosial mendedahkan Marissa didakwa menjadi penyebab utama dirinya diceraikan suami.

Namun, Aslam dan Misya mengambil keputusan rujuk semula ketika dalam tempoh edah.

Sementara itu, Abby mendakwa tidak pernah mengiyakan mahupun mengesahkan pernikahan Marissa dan Aslam, semalam.

Abby mempersoalkan bagaimana boleh timbul dakwaan dia dan bekas suami, Norman Hakim memaksa Marissa dan Aslam bercerai.

Berita Harian X