Sabtu, 10 Februari 2024 | 4:30pm
Zahiril berkongsi, butiknya dibangunkan dengan hasil titik peluh sendiri dan menghabiskan masa selama tujuh bulan bertukang. - NSTP/Hazreen Mohamad
Zahiril berkongsi, butiknya dibangunkan dengan hasil titik peluh sendiri dan menghabiskan masa selama tujuh bulan bertukang. - NSTP/Hazreen Mohamad

Zahiril tujuh bulan bertukang siapkan butik

PETALING JAYA: Selepas beberapa tahun menyemat impian, akhirnya pelakon Zahiril Adzim berjaya merealisasikan keinginan memiliki butik sendiri yang disifatkan sebagai perancangan masa hadapan jika tidak lagi bergelar pelakon.

Lebih bermakna, Zahiril berkata, butiknya itu dibangunkan dengan titik peluhnya sendiri dan menghabiskan masa berbulan untuk bertukang.

"Saya baru buka butik yang saya bina bersama sahabat, Nafiez Zaidi. Tujuh bulan juga kami bertukang. Ini baru siap dan dilancarkan.

"Alhamdulillah, banyak barang kami sudah diterima orang. Jadi, mungkin ia akan jadi 'escape plan' saya. Mungkin juga jadi perancangan masa depan, insya-Allah saya sedang teroka.

"Saya tidak akan buat benda yang saya tak minat, tapi perniagaan ini saya minat. Sebenarnya sudah lama saya nak buat, dari fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

"Mungkin ini boleh menjadi pengganti pendapatan. Saya buat ini untuk isteri dan anak, duit saya untuk mereka.

"Saya sudah masuk usia 40 tahun, tiada apa nak kejar lagi," katanya kepada BH Online.

Zahiril ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC The Starling, baru-baru ini.

Katanya, dia membuka butik atas tujuan menyokong jenama tempatan.

"Saya menyokong barang dan jenama tempatan. Jika orang tahu daripada wujudnya Tempatan Fest yang diadakan lebih 10 tahun lalu. Bila saya tengok negara seberang mereka menyokong jenama tempatan.

"Mereka mempunyai pemikiran dari beli barang luar yang tidak asli lebih baik beli barang tempatan. Jadi, komuniti untuk jenama tempatan ini besar sebab mereka berikan ruang dan peluang pekerjaan pada orang mereka sendiri.

"Itu juga harapan saya untuk jenama tempatan jadi lebih meriah, tidak kisahlah daripada pakaian, tudung dan sebagainya," katanya.

Zahiril (empat dari kiri) bersama barisan pelakon ketika majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC The Starling, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Zahiril (empat dari kiri) bersama barisan pelakon ketika majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC The Starling, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Tambah Zahiril, butiknya juga mahu dijadikan seperti 'clubhouse' di mana kawan-kawan dan peminat boleh bertandang untuk santai serta meluangkan masa dengannya.

"Mungkin cara saya nak berjumpa dengan orang, boleh buat di butik. Saya juga rasakan mungkin sudah sampai masa saya cuba benda lain dan baru.

"Saya pun tak tahu berapa lama saya dalam industri ini sebab ada gelombang baru akan sampai dan kita juga mengalu-alukan pelakon baharu.

"Ini masa mereka dan kita boleh duduk di belakang mengajar dan menyokong. Bagaimana saya disokong dan diajar oleh 'batch' Sahronizam Noor, begitu juga saya menyokong pelakon baharu.

"Saya akan lakukan perkara untuk budak baharu. Saya nak duduk belakang kamera pula sebab berlakon penat tubuh badan, tukar baju dan sebagainya, jadi mungkin sudah tiba masa saya penat minda pula," katanya.

Terbaharu, Zahiril tampil dengan filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam. Ia akan ditayangkan di pawagam mulai 15 Februari ini dengan menampilkan barisan pelakon seperti Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama, Adik Putri Amirah Maisara dan Adik Syed Irfan.

Filem seram ini berkisarkan mengenai penuntut ilmu perubatan tradisional, Rewan (Sahronizam) yang tidak dapat menerima kematian isterinya. Rewan berguru dengan Mbah Usu Lijah kerana dia tahu Mbah Usu Lijah memiliki ilmu membangkitkan jasad tanpa roh melalui kitab keturunan kaum Mihanasa.

Berita Harian X