Sabtu, 10 Februari 2024 | 8:30am
Pelakon dan tenaga kreatif filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam pada sesi tayangan media di GSC The Starling, Petaling Jaya, Rabu lalu. Foto NSTP Hazreen Mohamad
Pelakon dan tenaga kreatif filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam pada sesi tayangan media di GSC The Starling, Petaling Jaya, Rabu lalu. Foto NSTP Hazreen Mohamad

Elvina utama keluarga, jaga privasi

PETALING JAYA: Pada usia 29 tahun, Datin Elvina Mohamad bukan sahaja selektif memilih watak atas status sebagai isteri dan ibu, malah, lebih selesa tidak berkongsi sisi peribadi.

Elvina atau nama sebenar, Norzalina Mohamad mengakui bimbang salah langkah, perkara buruk boleh memberi kesan kepada dirinya dan keluarga.

"Kadang kala orang ramai tidak suka kita berkongsi kebahagiaan. Saya lebih sukakan privasi. Biar apa yang saya buat, saya simpan untuk diri sendiri. Di Instagram (IG), saya lebih banyak berkongsi soal kerja.

"Saya buat perkongsian IG untuk kerja. Saya takut perkara seperti 'evil eye' (pandangan buruk pengikut). Jadi, saya takut hendak kongsi mengenai keluarga. Apabila sudah berumur, saya suka privasi.

Sesuai kematangan usia, Elvina jarang berkongsi sisi peribadi dalam media sosial. Foto NSTP Hazreen Mohamad
Sesuai kematangan usia, Elvina jarang berkongsi sisi peribadi dalam media sosial. Foto NSTP Hazreen Mohamad

"Lagipun, sudah macam-macam jadi. Sebab itulah, asalkan keluarga saya gembira, itu sudah memadai," katanya ditemui pada sesi tayangan media filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di GSC The Starling, Petaling Jaya, Rabu lalu.

Menjawab pertanyaan hadir sendirian ke sesi tayangan media filem berkenaan tanpa suami, Datuk Mohd Haniff Borhan, Elvina berkata, teman hidupnya itu sentiasa menyokong kerja seninya.

"Suami sangat 'supportive' dalam kerjaya saya. Apa sahaja saya buat, dia sokong. Cuma bidang kami berbeza. Suami dalam bidang perniagaan dan politik.

"Apabila ada acara begini, suami sokong dari jauh. Dia tidak berminat hendak ikut," katanya yang berkahwin pada 8 Mac 2018.

Akibat kurang berkongsi sisi peribadi dalam media sosial, ada pihak menganggap dirinya masih solo.

"Saya ada dapat mesej langsung di mana pengirim sangka saya masih solo. Tidak pastilah sama ada dia tahu atau buat-buat tidak tahu. Saya pernah kongsi foto anak dan suami, cuma jarang," katanya.

Bercerita mengenai filem seram Waruga: Kutukan Ilmu Hitam arahan Azaromi Ghozali atau Romi, Elvina berkata, ini kali pertama dia melakonkan watak utama dalam filem seram.

Elvina mengaku bukan mudah menyiapkan naskhah itu kerana dirinya penakut.

Malah, Elvina mendakwa berhadapan dengan gangguan ketika menjayakan penggambaran filem itu di Pulau Carey, Selangor pada 2021.

"Sepanjang penggambaran saya jaga mulut, tapi, akhirnya, kena ganggu juga. Namun, saya berterima kasih kepada syarikat produksi atas peluang diberi dan kami bekerja keras untuk filem ini," katanya.

Bakal menjengah pawagam Khamis ini, selain Elvina, filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam menampilkan Zahiril Adzim, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam dan Ruminah Sidek.

Filem ini mengisahkan seorang penuntut ilmu perubatan tradisional, Rewan lakonan Sahronizam tidak dapat menerima kematian isterinya. Rewan kemudian berguru dengan Mbah Usu Lijah yang memiliki ilmu membangkitkan jasad tanpa roh melalui kitab keturunan kaum Mihanasa.

Berita Harian X