Jumaat, 9 Februari 2024 | 3:13pm
Mierul yang membintangi drama rantaian popular, Projek: High Council berjanji tidak akan berahsia jika suatu hari nanti, dia dilamun cinta. Foto NSTP Nur Raihana Alia
Mierul yang membintangi drama rantaian popular, Projek: High Council berjanji tidak akan berahsia jika suatu hari nanti, dia dilamun cinta. Foto NSTP Nur Raihana Alia

Kalau ada si dia, saya cerita - Mierul Aiman

KUALA LUMPUR: Pelakon Mierul Aiman terkejut tersebar dakwaan konon dia menjalin percintaan dengan cucu kenamaan.

Mierul atau nama sebenar, Mohammad Amirul Aiman Norazman, 26, menjelaskan dia masih 'single' dan terbuka untuk berkawan dengan semua wanita tanpa perlu diselidik latar belakang mereka.

"Sungguh saya cakap, setakat ini, tiada yang istimewa. Saya masih 'single' walaupun saya tahu ada pihak yang terluka dengan kenyataan saya ini.

"Saya terkejut sebenarnya. Saya berkawan dengan semua orang. Saya tidak tahu sama ada dia cucu kenamaan atau tidak. Saya tidak pernah siasat anak siapa.

"Saya sangat berbesar hati untuk berkenalan dengan sesiapa sahaja di dalam industri seni. Saya tiada masalah untuk kenal hati budi dan berkenalan dengan orang lain.

"Prinsip saya berbudi kepada semua orang. Kita buat baik untuk dibalas baik," katanya ditemui di lokasi penggambaran drama terbitan Astro Shaw berjudul Project: Exit di Rimba Ilmu, Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Mierul yang membintangi drama rantaian Projek: High Council berjanji tidak akan berahsia jika suatu hari nanti, dia dilamun cinta.

"Saya tidak pernah rimas dengan soalan cinta. Bagi saya, industri seni seperti pejabat. Media bertanya apa orang hendak tahu.

"Saya tiada rahsiakan apa-apa. Kalau berahsia pun, cuma hal yang berkaitan dengan apa yang saya buat di rumah.

"Selebihnya, saya okay bercerita apa-apa yang membabitkan kerjaya saya.

"Kalau suatu masa nanti saya bercinta atau ada rezeki jodoh sampai awal, saya akan kongsi," katanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi Mierul dalam fasa mengenali hati budi seorang gadis yang juga pempengaruh.

Selain Mierul, drama Project: Exit dibintangi Nabila Huda, Naim Daniel, Shasha Abedul, Kimberly Chua dan ramai lagi.

Berita Harian X