Jumaat, 9 Februari 2024 | 3:01pm
Imran meluahkan rasa tidak percaya apabila konsert yang julung kali diadakannya berjaya menghimpunkan 1,200 peminat selama dua malam. - Foto Ihsan Penganjur
Imran meluahkan rasa tidak percaya apabila konsert yang julung kali diadakannya berjaya menghimpunkan 1,200 peminat selama dua malam. - Foto Ihsan Penganjur

Konsert Imran tetap 'meletup' tanpa deretan lagu hit

KUALA LUMPUR: Alunan vokal jejaka ini mungkin tidak dikategorikan padu, namun penyanyi berasal dari Singapura, Imran Ajmain ada keistimewaan tersendiri yang memikat hati si pemuja.

Jumaat lalu, penyanyi yang hampir dua dekad menyusun langkah dalam industri muzik, membuai hati peminat dengan lagu galau menerusi Konsert Malam Seribu Tahu di The Platform, Menara Ken, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Petaling Jaya.

Konsert hampir dua jam itu menghimpunkan kira-kira 20 lagu daripada awal pembabitan Imran dalam dunia muzik sehingga dendangan terkini.

Memiliki tiga album, penyanyi tinggi lampai itu mengakui terharu serta tidak menyangka konsert yang sudah terlalu lama didambakan menjadi nyata.

Lebih menyentuh hati penyanyi berusia 42 tahun itu apabila jualan tiket konsertnya licin dalam tempoh sejam, sehingga penganjur terpaksa menambah satu malam lagi khas buat peminatnya.

Membuka tirai persembahan malam itu menerusi lagu Taurus (Penawar Rindu), kemunculan Imran dengan sut rona hijau di pentas, disambut dengan penuh keterujaan kira-kira 600 peminat.

Selesai mendendangkan lagu yang menjadi pembuka tirai malam itu, Imran berterima kasih kepada mereka kerana sanggup 'berperang' mendapatkan tiket.

"Saya sangat berbesar hati, lagi-lagi bila anda semua kena 'berperang' untuk mendapatkan tiket malam ini," katanya.

Imran kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Intan dan Perak, Hanya Menari, Di Kalung Kasihan dan Ghaibmu untuk set pertama.

Aksi diteruskan dengan set kedua menerusi iringan muzik secara akustik dengan lagu Mengaku Kalah, Peluang Kedua, Nada Merindu dan Allah Selamatkan Kamu.

Dengan pentas yang dihias seperti ruang tamu, sesekali Imran berkongsi kenapa dia memilih sesetengah lagu untuk dimuatkan dalam albumnya. Imran kemudian menawan pentas menerusi lagu Selama Ulang Tahun Sayang dan Padam dan Pergi.

Imran bersama pasukan pemuzik yang mengiringi Konsert Malam Seribu Tahu di The Platform, Menara Ken, TTDI, Petaling Jaya, baru-baru ini. - Foto Ihsan Penganjur
Imran bersama pasukan pemuzik yang mengiringi Konsert Malam Seribu Tahu di The Platform, Menara Ken, TTDI, Petaling Jaya, baru-baru ini. - Foto Ihsan Penganjur

Padam dan Pergi adalah single terbaharunya yang dilancarkan pada Disember lalu. Akui Imran, selepas kemunculan single Seribu Tahun kira-kira 10 tahun lalu, sukar untuknya mencari lagu yang dapat membuatkan peminatnya 'move on'.

"Saya cuba sedaya upaya setiap dua ke tiga tahun, untuk keluarkan lagu baharu. Tetapi, tidak ada yang melekat," katanya.

Pada set ketiga, Imran memilih lagu cover serta beberapa dendangan lain daripada buah tangan dihasilkannya.

Dendangan yang menjadi pilihan adalah Jika Engkau Pergi, Apa Salah Beta, Menimbang Rasa, Harapan Kecewa, Sudah Tu Sudah dan Kekasih Awal dan Akhir dendangan Datuk Jamal Abdillah.

Seperti dijangka, Imran menutup tirai malam itu dengang lagu 'berhantu' Seribu Tahun.

Ditemui seusai konsert, Imran meluahkan rasa tidak percaya apabila konsert yang julung kali diadanya itu berjaya menghimpunkan 1,200 peminat selama dua malam.

"Saya sedar diri ini. Dengan pengaruh yang tidak besar untuk saya bermula dengan 'showcase' dihadiri 60 orang, kemudian konsert yang disaksikan 1,200 peminat membuatkan saya tidak sangka.

"Saya tiada lagu tular atau hit menjuarai carta seperti penyanyi lain. Saya tiada lagu melainkan Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang yang orang tahu dan dekat dalam hati peminat.

"Jadi, apabila ada peminat yang sanggup tunggu dan bersama saya, ini cukup membuatkan saya besar hati dan bangga," katanya.

Sementara itu, Imran berharap penyanyi lain yang berhasrat mengadakan konsert tetapi hanya memiliki satu atau dua lagu hit, agar menggunakan pendekatan sama sepertinya iaitu dengan mendekati sekurang-kurangnya satu peratus daripada jumlah pengikut dalam media sosial.

"Saya ada antara 60,000 hingga 70,000 pengikut dalam media sosial. Daripada jumlah itu, saya sasar satu peratus penonton. Jumlah itu saya anggap sangat realistik dan ternyata, formula yang saya pakai menjadi," katanya.

Berita Harian X