Jumaat, 9 Februari 2024 | 1:01pm
Tunku Mona (tengah) letak harapan agar Rain Town dapat dijadikan inspirasi kepada pengarah lain cuba menghasilkan naskhah berbeza dari sudut bahasa dan budaya. - NSTP/Aizuddin Saad
Tunku Mona (tengah) letak harapan agar Rain Town dapat dijadikan inspirasi kepada pengarah lain cuba menghasilkan naskhah berbeza dari sudut bahasa dan budaya. - NSTP/Aizuddin Saad

Tunku Mona kembali dengan filem Kantonis

KUALA LUMPUR: Pengarah Tunku Mona Riza Tunku Khalid yang mencipta nama menerusi filem bertemakan autisme, Redha pada 2016, kembali dengan naskhah terbaharu berjudul Rain Town.

Masih mengangkat kisah kekeluargaan, filem terbitan Current Pictures Sdn Bhd itu mempunyai keistimewaan tersendiri apabila dihasilkan dalam bahasa Kantonis di bawah arahan sutradara berbangsa Melayu.

Dengan penghasilan filem berkenaan, secara tidak langsung menobatkan Tunku Mona sebagai pengarah wanita Melayu pertama mengarahkan filem Kantonis yang pastinya mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri.

Tunku Mona Riza berkata, idea menghasilkan Rain Town bermula pada 2016 apabila dia dimaklumkan seorang jurugambar 'rain betting' atau bertaruh dengan meneka waktu hujan yang pernah berlaku suatu masa dahulu di Taiping, Perak.

"Ketika itu saya sangat tertarik dengan kisah rain betting kerana ia suatu cerita unik. Namun, tidak bermaksud saya mahu hasilkan cerita mengenai pertaruhan.

"Sebaliknya, saya wujudkan satu karakter bernama Choo yang suka bertaruh serta seorang bapa yang suka mengatur kehidupan anaknya walaupun mereka sudah meningkat dewasa sehingga menimbulkan konflik dalam keluarga," katanya.

Tunku Mona berkata demikian pada sesi tayangan perdana Rain Town di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Rain Town memaparkan kisah perjuangan dan konflik sebuah keluarga yang berdepan pelbagai perbalahan dan permainan emosi.

Naskhah ini diterajui dua pelakon hebat tanah air iaitu Chew Kin Wah dan Susan Lankester serta barisan pendukung watak lain seperti Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Barisan pelakon ketika sesi tayangan perdana Rain Town di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini. NSTP/Aizuddin Saad
Barisan pelakon ketika sesi tayangan perdana Rain Town di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini. NSTP/Aizuddin Saad

Tunku Mona berkata, judul Rain Town dipilih berikutan lokasi penggambaran dilakukan di Taiping yang diketahui sebagai kawasan taburan hujan paling banyak di Malaysia.

Tambahnya, jalan cerita filem itu hanya rekaan dan tidak berkaitan dengan mana-mana individu, namun mengakui konflik dipaparkan wujud dalam sesebuah keluarga.

Bercerita mengenai cabaran menghasilkan Rain Town, Tunku Mona Riza yang pernah diangkat Pengarah Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29 berkata, sepanjang penggambaran, semua urusan berikutan pasukan produksi yang mantap.

"Pada saya, cabaran dihadapi bukan sekadar dari sudut pembikinan, tetapi juga penerimaan penonton terhadap naskhah ini.

"Biarpun ia filem berbahasa Kantonis, cabaran sebenar menarik penonton bukan sahaja dari kaum Cina, malah kaum lain.

"Secara peribadi saya letak harapan agar Rain Town dapat dijadikan inspirasi kepada pengarah lain cuba menghasilkan naskhah yang berbeza dari sudut bahasa dan budaya mereka," ujarnya.

Pada masa sama, Tunku Mona Riza mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberikan sokongan sehingga filem berkenaan berjaya dihasilkan.

"Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas sokongan diberi menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) untuk penerbitan Rain Town.

Filem Rain Town bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai hari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Berita Harian X