Khamis, 8 Februari 2024 | 8:31am
Che Kem berpendapat babak panas tidak sesuai jadi tontonan kerana TV menjadi keperluan manusia untuk mendapatkan maklumat, hiburan dan pendidikan, termasuk pembelajaran. - Foto IG Che Kem
Che Kem berpendapat babak panas tidak sesuai jadi tontonan kerana TV menjadi keperluan manusia untuk mendapatkan maklumat, hiburan dan pendidikan, termasuk pembelajaran. - Foto IG Che Kem

Adegan 'panas' hakis nilai moral kandungan kreatif

KUALA LUMPUR: Sejak akhir-akhir ini, keberanian pembikin drama menyelitkan adegan intim yang dianggap keterlaluan atau 'panas', mencetuskan polemik dan perdebatan terhakisnya nilai moral dalam penghasilan kandungan kreatif untuk siaran stesen televisyen (TV) tempatan, termasuk platform penstriman over-the-top (OTT).

Barangkali didorong desakan mengejar rating dan kandungan 'viral', tindakan segelintir penerbit menyelitkan babak 'panas', dikhuatiri membawa padah apatah lagi karya dipersembahkan ditonton pelbagai lapisan umur, termasuk kanak-kanak.

Baru-baru ini, pelakon, Shukri Yahaya dilapor memohon maaf atas kontroversi babak didakwa berunsur separuh lucah atau 'soft porn' bersama gandingannya, Alya Iman, dalam drama berjudul Layang-Layang Perkahwinan.

Adegan membabitkan Shukri dan Alya itu tersebar melalui klip video yang antara lain memaparkan sedutan babak berkenaan, yang dikongsi netizen dalam media sosial.

Antara lain, babak itu memaparkan watak Azim Asibullah lakonan Shukri, sedang mandi didatangi Tsuraya Lin (Alya).

Babak berani itu menjadi bahan kecaman dalam media sosial kerana didakwa cuba menormalisasikan kandungan separuh lucah.

Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan pelakon, Mohd Kamarulzaman Taib atau lebih dikenali sebagai Che Kem berkata, pengarah filem era 1970-an dan 1980-an tidak dinafikan cenderung menyelitkan babak 'panas' dalam karya mereka.

Namun, tambahnya, adegan seumpama itu terbatas di layar perak, bukan di TV.

"Dalam sejarah filem tempatan, ada cubaan berani daripada pengarah filem memasukkan adegan berunsur begitu (panas). Namun, ada di antara mereka menggunakan perlambangan alam atau objek sahaja.

"Bagi tontonan TV, babak seumpama itu tidak sesuai kerana TV menjadi keperluan manusia untuk mendapatkan maklumat, hiburan dan pendidikan, termasuk pembelajaran.

"Kita sedar hari ini kita hidup dalam dunia tanpa sempadan di mana laman web lucah mudah diakses, termasuk kandungan 'soft porn' dan imej seksi yang dilihat sangat berleluasa dalam iklan, muzik dan klip filem.

"Masyarakat terutama remaja juga mula terbiasa dan terbuka menerima unsur begitu. Namun, sebagai orang seni yang masih berlandaskan budaya ketimuran dan ajaran Islam, amat perlu untuk kita sama-sama berperanan memelihara agama, adat dan budaya (demi mengelak menyelitkan babak intim keterlaluan dalam karya)," katanya kepada BH Online.

Adegan Shukri dan Alya didakwa berunsur separuh lucah menerusi drama Layang-Layang Perkahwinan menjadi bahan kecaman dalam media sosial.
Adegan Shukri dan Alya didakwa berunsur separuh lucah menerusi drama Layang-Layang Perkahwinan menjadi bahan kecaman dalam media sosial.

Che Kem yang meraih trofi Pelakon Lelaki Harapan Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-21 berkata, penggiat seni tidak seharusnya menyokong, menyebar dan menormalisasikan sebarang unsur tidak baik dalam karya.

Tambahnya, kuasa media dan visual sangat hebat dalam mengasuh minda hingga persepsi buruk menjadi baik. Perkara itu menimbulkan kebimbangan apabila masyarakat akan menganggap adegan lucah sebagai sesuatu yang normal hingga perlu diselitkan dalam kandungan, termasuk drama.

"Perkara ini perlu dipantau. Malah, pelakon kena ada kesedaran untuk menolak cerita (yang memaparkan adegan panas).

"Apabila sudah jadi kebiasaan untuk memaparkan adegan buka baju atau berpelukan, kita akan anggap perkara itu sesuatu yang normal dan mesti ada dalam drama atau filem tempatan.

"Sekiranya unsur lucah diteruskan dalam drama kerana ada permintaan, itu bermaksud, mereka menjual sesuatu yang buruk. Apa niat mereka? Adakah ingin menghasilkan sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya?" katanya.

Ditanya sama ada perlu diwujudkan satu badan bagi memantau kandungan televisyen, Che Kem berkata, perkara itu tidak perlu. Sebaliknya, tanggungjawab itu terletak kepada stesen penyiar.

"Saya fikir tidak perlu ada badan penapisan pada peringkat TV, tetapi, perlu ada panel atau jawatankuasa peringkat media yang memantau.

"Ini berbalik kepada soal tanggungjawab untuk masyarakat dan generasi masa hadapan. Menghasilkan program TV atau drama bukan sekadar hal keuntungan, rating dan perhatian," katanya.

Berita Harian X