Rabu, 7 Februari 2024 | 5:38pm
Marissa (kiri) dan Aslam bersama isteri pertamanya, Misya (kanan).
Marissa (kiri) dan Aslam bersama isteri pertamanya, Misya (kanan).

Marissa Dania Hakim dan Aslam nikah senyap-senyap?

KUALA LUMPUR: Anak kepada pasangan selebriti, Norman Hakim dan Abby Abadi iaitu Marissa Dania Hakim, 19, didakwa sudah berkahwin dengan lelaki pilihannya dikenali sebagai Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember lalu.

Kisah pasangan ini tular apabila Marissa didakwa sebagai orang ketiga dalam hubungan rumah tangga Aslam dan isterinya, Misya Mazlan sehingga bercerai.

Namun, Aslam dan Misya mengambil keputusan rujuk semula dalam edah.

Sumber Harian Metro berkata, Marissa dan Aslam berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama dan keluarga Marissa.

"Mereka berkahwin ketika Misya pergi menunaikan umrah. Kiranya, Misya sudah dimadukan tanpa pengetahuan," kata sumber itu.

Menurut sumber lagi, pasangan berkenaan kembali menjalin hubungan selepas kontroversi itu reda dan Aslam mengambil keputusan untuk rujuk semula.

Terdahulu, pada September tahun lalu kecoh dalam media sosial apabila Misya yang juga ibu kepada dua cahaya mata tampil membongkar dakwaan kisah kecurangan suaminya dengan anak perempuan kepada Abby dan bekas suaminya yang juga pelakon popular, Norman Hakim itu.

Misya menerusi satu hantaran dalam laman sosial mendedahkan Marissa yang juga pempengaruh itu didakwa menjadi penyebab utama dia diceraikan suaminya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Norman dan Abby bagi mendapatkan pengesahan tidak berjaya apabila mereka tidak membalas mesej WhatsApp dan menjawab panggilan telefon.

Berita Harian X