Rabu, 7 Februari 2024 | 3:01pm
Alya bukanlah kalis kecaman, sebaliknya ada kala terasa hati juga dengan kata-kata nista yang dilemparkan netizen. - Foto IG Alya Iman
Alya bukanlah kalis kecaman, sebaliknya ada kala terasa hati juga dengan kata-kata nista yang dilemparkan netizen. - Foto IG Alya Iman

Orang sudah lama benci saya - Alya Iman

KUALA LUMPUR: Reaksinya sedikit gelisah saat berdepan dengan sekumpulan wartawan pada majlis ramah mesra bersama pelakon drama Layang-Layang Perkahwinan di sebuah restoran, baru-baru ini.

Namun, senyuman manis tidak lekang daripada bibir seolah-olah cuba menyembunyikan debaran dalam hati.

Barangkali pelakon cantik, Alya Iman tahu soalan apa yang bakal diajukan hingga membuatkannya sedikit gementar.

Sebelum ini, nama Alya pernah hangat gara-gara dakwaan pernah bertunang dengan suami orang dan isu buka hijab yang berlaku tahun lalu, kali ini, pemilik nama lengkap Nur Alya Iman Azmil dikaitkan dengan babak 'soft porn' yang dilakonkannya bersama hero kesayangan ramai, Shukri Yahaya.

Alya berkata, dia terlebih dulu bertanya kepada pengarah Eyra Rahman betulkah nak buat juga babak berkenaan sebelum penggambaran.

"Memandangkan babak ini memang ada dalam skrip, jadi sebagai pelakon, saya hanya jalankan tanggungjawab mengikut skrip dan arahan diberi.

"Semua orang cakap babak itu 'soft porn', tapi dari segi apa yang membuatkan mereka beranggapan sedemikian?

"Lagipun, kami tahu apa yang berlaku di belakang kamera dan ia tidaklah seperti disangkakan. Kami tetap jaga semuanya," katanya kepada BH Online.

Mengulas tidakkah anda terfikir babak 'soft porn' ini bakal mengundang kemarahan netizen, Alya berkata, dia tahu, takkan tak sedar perkara berkenaan, namun dirinya hanya buat kerja.

"Tak dinafikan, memang ada yang kecam dan komen yang diterima sangat kejam terutama dalam aplikasi X hingga saya takut nak buka aplikasi berkenaan.

"Saya sudah lali dengan apa yang orang nak cakap soal saya. Sebelum ini, ramai melabelkan saya dengan macam-macam gelaran.

"Orang sudah lama benci saya. Tapi, ia tidaklah begitu merisaukan kerana mereka yang rapat dengan saya seperti keluarga, pasukan kerja dan pengurusan termasuk produksi drama ini lebih mengetahui diri saya sebenar," katanya.

Pengalaman hidup membentuk Alya jadi gadis tabah dan kalis kecaman. - Foto IG Alya Iman
Pengalaman hidup membentuk Alya jadi gadis tabah dan kalis kecaman. - Foto IG Alya Iman

Bagaimanapun, katanya, dia bukanlah seorang yang kalis kecaman.

"Saya hanya manusia, masih ada hati dan perasaan. Ada kala saya terasa hati juga dengan kata-kata nista yang dilemparkan, tapi bergantung kepada kecaman.

"Jika ia berkaitan soal kerjaya, saya terima. Ini kerana ia bermakna saya berjaya membawa watak Tsuraya hingga penonton benci. Itu sesuatu yang positif buat saya," katanya.

Akuinya, dia sudah melalui banyak pengalaman menyedihkan dalam hidup walaupun masih muda dan baru berusia 23 tahun.

"Tidak dinafikan, pengalaman hidup membentuk saya menjadi gadis tabah dan kalis kecaman.

"Kehilangan ibu dan ayah, membesar dalam keluarga berantakan dan berkerja pada usia muda demi menjaga arwah ayah membuatkan hati serta jiwa kental berdepan apa juga cabaran hidup.

"Justeru, bila ada kecaman netizen, ia langsung tidak memberi kesan. Saya tahu boleh hadapi semua ini dan bersedia dengan apa juga cabaran yang bakal mendatang," katanya.

Mengulas perkembangan kerjayanya, Alya berkata, dia bersyukur daripada watak pembantu, kini memegang salah satu watak utama dalam drama.

"Sebenarnya, saya tak memilih, watak apa sahaja, asalkan saya dapat mempelbagaikan karakter. Kalau selepas ini diberi watak pembantu, saya masih terima," katanya.

Terdahulu, adegan membabitkan Shukri dan Alya tersebar melalui klip video yang antara lain memaparkan sedutan babak berkenaan, yang dikongsi netizen dalam media sosial.

Antara lain, babak itu memaparkan watak Azim Asibullah lakonan Shukri, sedang mandi, didatangi Tsuraya Lin (Alya).

Babak berani itu menjadi bahan kecaman dalam media sosial kerana didakwa cuba menormalisasikan kandungan separuh lucah.

Berita Harian X