Selasa, 6 Februari 2024 | 6:28pm
Aisha alami kecederaan di kaki akibat terlalu gigih berlatih untuk mara ke pentas AJL 38. - NSTP/Rohanis Shukri
Aisha alami kecederaan di kaki akibat terlalu gigih berlatih untuk mara ke pentas AJL 38. - NSTP/Rohanis Shukri

Aisha gayakan rekaan Teh Firdaus untuk AJL 38

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aisha Retno bakal bekerjasama dengan pereka fesyen yang menghasilkan busana untuk Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei, Teh Firdaus untuk pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38, bulan depan.

Aisha yang mempertaruhkan lagu Sutera dendangan dan ciptaannya sendiri mengakui berbesar hati menerima lamaran Teh Firdaus dan tidak sabar menggayakan busana sentuhan pereka fesyen muda itu.

Aisha, 23, berkata dia tidak sangka Teh Firdaus menghubunginya sendiri untuk menjalinkan kolaborasi itu.

"Teh Firdaus sendiri menawarkan diri untuk taja pakaian saya di pentas AJL 38. Ini julung kalinya dia menghasilkan rekaan baju untuk artis.

"Sebelum ini, dia banyak menghasilkan busana pengantin.

"Secara kebetulan, saya memang meminati hasil rekaannya. Bila Teh Firdaus tawarkan untuk reka pakaian pada AJL 38, tentulah saya tak menolak.

"Dia mahu bereksperimentasi dan saya tak sabar nak tengok apa yang bakal Teh Firdaus hasilkan. Apa yang penting, selesa untuk menari," katanya yang tidak kisah melabur lebih untuk penampilan di pentas AJL 38.

Bakal menggayakan fabrik jenis sutera, Aisha bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah modal untuk busana yang bakal digayakan pada malam berprestij itu.

"Apa yang boleh saya katakan, anggaran mencecah lima angka.

"Saya memang berhabis untuk pakaian dan penari. Saya akan menggunakan 30 penari kerana ibaratnya, malam AJL 38 terakhir saya walaupun ia kali pertama saya berjaya bolos ke peringkat akhir," katanya yang ditemui pada sesi Meet & Greet AJL Paling Ikonik di Pasar Seni, kelmarin.

Aisha tak sangka Teh Firdaus menghubunginya sendiri untuk menjalinkan kolaborasi untuk menaja busana di pentas AJL 38. - NSTP/Rohanis Shukri
Aisha tak sangka Teh Firdaus menghubunginya sendiri untuk menjalinkan kolaborasi untuk menaja busana di pentas AJL 38. - NSTP/Rohanis Shukri

Mengulas persiapannya, Aisha mendedahkan dia alami kecederaan di kaki akibat terlalu gigih berlatih.

Aisha berkata, dia terpaksa memperlahankan latihan kerana tidak mahu menambahkan bebanan pada kakinya.

Kali pertama layak ke pentas AJL 38, Aisha mengakui keterujaan untuk bertanding memberikan sedikit tekanan kepada emosinya.

"Memang ia memberikan tekanan kerana saya sejenis yang nak kawal semua benda. Kalau boleh saya nak buat semua benda sendiri.

"Lagi tertekan bila ramai meletakkan harapan, jadi saya harap cepatlah AJL 38 berakhir supaya tak banyak fikir lagi.

"Saya tak menaruh harapan tinggi, ada rezeki saya bersyukur. Tapi, saya bersaing dengan ramai finalis hebat-hebat," katanya.

Berita Harian X