Selasa, 6 Februari 2024 | 2:14pm
Margaret terima kunjungan Azmir, Zed Zaidi dan GAFEMA yang turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sempena Tahun Baharu Cina. - NSTP/Aziah Azmee
Margaret terima kunjungan Azmir, Zed Zaidi dan GAFEMA yang turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sempena Tahun Baharu Cina. - NSTP/Aziah Azmee

Margaret Gan harap skim bantuan bulanan artis veteran

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Margaret Gan, 81, mengharapkan skim bantuan bulanan kepada pelakon berusia 70 tahun ke atas diperkenalkan bagi meringankan beban.

Margaret berkata, ramai pelakon seusianya tidak lagi mendapat tawaran berlakon, sedangkan masih berkemampuan untuk bekerja.

Katanya, dia masih sihat dan mampu menghafal skrip, tetapi sudah hampir enam tahun tiada tawaran berlakon.

"Saya masih sihat dan tiada ada masalah untuk berlakon sekiranya ditawarkan.

"Nak tahu saya boleh atau tidak berlakon, datanglah jumpa saya untuk berbincang.

"Sekarang saya memang langsung tak buat apa, banyak masa dihabiskan dengan menonton televisyen sahaja.

"Jadi, saya harap adalah mana-mana pihak sudi wujudkan skim bantuan bulanan supaya dapat meringankan beban pelakon veteran," katanya yang ditemui BH Online sempena program Ziarah Seni Madani Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 2024 di kediamannya di Seputeh, Kuala Lumpur.

Margaret meluahkan kekecewaan apabila pelakon veteran diberikan bayaran tak setimpal. - NSTP/Aziah Azmee
Margaret meluahkan kekecewaan apabila pelakon veteran diberikan bayaran tak setimpal. - NSTP/Aziah Azmee

Sementara itu, Margaret turut meluahkan kekecewaan apabila pelakon veteran sepertinya diberikan bayaran tidak setimpal.

Katanya, dia pernah ditawarkan sebanyak RM250 sehari yang disifatkan tidak masuk akal.

Meskipun berusia, katanya, pelakon veteran juga ada nilai bayaran tersendiri.

"Bila dimaklumkan mengenai bayaran, saya terus menolak. Saya tak tanya banyak kerana harga ini terlalu rendah dan tidak setimpal.

"Saya bukan 'demand', tapi masih boleh dibawa berunding, Tetapi berikanlah harga masuk akal kerana pelakon veteran pun ada nilainya.

"Kadang-kala kita jadi serba salah, bila terima bayaran terlalu rendah rakan seangkatan bising dan bila letak harga sepatutnya, produksi pula tak mahu ambil berlakon," katanya.

Terdahulu, Margaret terima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sempena Tahun Baharu Cina anjuran FINAS dan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA).

Tahun ini, seramai 100 penggiat seni tidak kira pelakon dan kru balik tabir yang uzur dan terjejas menerima sumbangan berkenaan.

Yang turut hadir menyampaikan sumbangan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bersama Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi.

Berita Harian X