Isnin, 5 Februari 2024 | 7:19pm
Liza turut menampilkan satu segmen khas tribute Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma dengan membawakan lagu Jeritan Batinku, Dimanakan Ku Cari Ganti dan Istana Cinta. - - NSTP/Sadiq Sani
Liza turut menampilkan satu segmen khas tribute Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma dengan membawakan lagu Jeritan Batinku, Dimanakan Ku Cari Ganti dan Istana Cinta. - - NSTP/Sadiq Sani

Masalah kesihatan tak jadi penghalang Liza tampil bertenaga

KUALA LUMPUR: Berdepan masalah kesihatan apabila alami demam sebelum sakit dada menjelang konsert sulung bukanlah halangan buat penyanyi Liza Hanim tampil bertenaga dan mempamerkan persembahan terbaik pada konsert berskala besar, Liza Hanim 27 Years Journey In Concert di Zepp Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abd Halim tetap bersikap positif meskipun keadaan kesihatannya itu memberikan sedikit kesan terhadap vokalnya.

"Saya tahu mesti ada yang perasan keadaan saya. Saya memang tak sihat sejak dua minggu lalu hingga terpaksa menggunakan nebulizer untuk bernafas.

"Kalau nak jumpa orang yang kita sayang, memang akan sakit dahulu. Tapi, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dan persembahan berjalan lancar. Doakan saya dapat berikan yang terbaik kepada anda semua," kata Liza sambil disambut tepukan dan sorakan lebih 1300 penonton yang hadir menyaksikan konsert itu.

Pada konsert berdurasi hampir tiga jam itu, Liza menyanyikan lebih 30 lagu yang dipetik dari album solo seperti Getaran Cinta Di Jiwa, Cintaiku Aku Sepenuh Jiwa, Lepas Biar Bersebab, Ku Idamkan Rindu, Puteri Jelmaan, Sepanjang Ku Menyintaimu, Kerana Terlalu Menyintaimu, Merawat Luka Terpendam, Lara, Siapa Sangka Siapa Menduga dan Gelisah Mimpi sebelum menutupo tirai dengan lagu popular dendangan Celine Dion berjudul My Heart Will Go On.

Menerusi konsert berdurasi hampir tiga jam, Liza menyanyikan lebih 30 lagu yang dipetik dari album solonya. - NSTP/Sadiq Sani
Menerusi konsert berdurasi hampir tiga jam, Liza menyanyikan lebih 30 lagu yang dipetik dari album solonya. - NSTP/Sadiq Sani

Bekas peserta Gegar Vaganza All Stars ini juga dilihat gagal menahan sebak tatkala mendendangkan lagu Tiada yang ditujukan khas buat arwah bapanya, Allahyarham Abdul Halim Abdul Razak yang meninggal dunia pada Jun 2019.

Malah, Liza terpaksa menghentikan nyanyian akibat gagal mengawal tangisan sebelum menyambung semula persembahan dengan penuh emosi.

Liza turut menampilkan satu segmen khas tribute Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma dengan membawakan lagu Jeritan Batinku, Dimanakan Ku Cari Ganti dan Istana Cinta.

Untaian klasik itu pernah dirakam semula penyanyi bervokal ampuh ini menerusi album Dimana Kan Ku Cari Ganti yang diterbitkan pada 1998.

Lebih istimewa, Liza turut berpadu suara dengan anak sulungnya, Marsya Qistina menerusi lagu Bahagiakan Dia, yang juga lagu duetnya bersama Shila Amzah.

Konsert anjuran LH Media Sdn Bhd bersama Laugh Out Loud Entertainment turut diserikan dnegan kehadiran artis popular tanah air. Antaranya, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anuar Zain, Marsha, Jaclyn Victor, Nikki Palikat, Noryn Aziz, Aisha Retno, Dina Nadzir, Haziq Hussni dan Dafi Ismail.

Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang menterjemahkan perjalanan seni lebih dua dekad anak jati Klang, Selangor itu turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Berita Harian X