Isnin, 5 Februari 2024 | 2:54pm
Miley Cyrus menang dua trofi, Rakaman Terbaik, Persembahan Pop Solo Terbaik dalam Anugerah Grammy Ke-66, hari ini. - Foto AGENSI
Miley Cyrus menang dua trofi, Rakaman Terbaik, Persembahan Pop Solo Terbaik dalam Anugerah Grammy Ke-66, hari ini. - Foto AGENSI

Miley Cyrus tamatkan penantian, menang dua trofi Anugerah Grammy

LOS ANGELES: Miley Cyrus akhirnya menamatkan penantian untuk mencipta kejayaan di Anugerah Grammy selepas memenangi dua trofi pada anugerah yang sudah memasuki edisi ke-66 itu.

Menerusi Anugerah Grammy Ke-66 yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS), hari ini, Cyrus meraih kemenangan menerusi kategori Rakaman Terbaik dan Persembahan Pop Solo Terbaik.

Bagi Rakaman Terbaik, Cyrus, 32, yang mempertaruhkan lagu Flowers menewaskan Billie Eilish dengan What Was I Made For?, Boygenius (Not Strong Enough), Jon Batiste (Worship), Olivia Rodrigo (Vampire), SZA (Kill Bill), Taylor Swift (Anti-Hero) dan Victoria Monét (On My Mama).

Manakala, kategori Persembahan Pop Solo Terbaik menyaksikan Cyrus menewaskan empat pesaing hebat iaitu Doja Cat yang mempertaruhkan lagu Paint the Town Red, Billie Eilish (What Was I Made For?), Olivia Rodrigo (Vampire) dan Taylor Swift (Anti-Hero).

Selain itu, Cyrus juga menerima pencalonan bagi kategori Album Terbaik menerusi album Endless Summer Vacation termasuk Lagu Terbaik, Album Pop Vokal Terbaik dan Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik.

Terdahulu, lagu Flowers mengungguli carta Billboard Hot 100 selama lapan minggu selepas dilancarkan serta memecahkan rekod Spotify untuk kebanyakan strim dalam satu minggu dengan lebih 100 juta pendengaran. - AGENSI

Berita Harian X