Isnin, 5 Februari 2024 | 12:42pm
Billie Eilish dan abangnya, Finneas O’Connell yang juga pencipta bersama lagu What Was I Made For? yang diangkat Lagu Terbaik, Anugerah Grammy Ke-66, hari ini. - Foto AGENSI
Billie Eilish dan abangnya, Finneas O’Connell yang juga pencipta bersama lagu What Was I Made For? yang diangkat Lagu Terbaik, Anugerah Grammy Ke-66, hari ini. - Foto AGENSI

Billie Eilish menang Lagu Terbaik, Anugerah Grammy

LOS ANGELES: Lagu What Was I Made For? nyanyian Billie Eilish diangkat sebagai Lagu Terbaik, Anugerah Grammy Ke-66 yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Lagu dihasilkan bersama abangnya, Finneas O'Connell itu menewaskan pencabar hebat lain seperti Miley Cyrus dengan lagu Flowers, Taylor Swift (Anti-Hero), Dua Lipa (Dance The Night) dan Jon Batiste (Butterfly).

Eilish, 23, turut menewaskan penyanyi dengan sembilan pencalonan pada Anugerah Grammy Ke-66 iaitu SZA dengan lagu Kill Bill dan Olivia Rodrigo (Vampire).

Sebaik diumum sebagai pemenang, pemilik nama lengkap, Billie Eilish Pirate Baird O'Connell itu terkejut dengan menyifatkan ia adalah satu perkara 'gila' dalam kariernya.

"Sebenarnya saya melihat wajah masing-masing (calon lain), kemudian saya tunduk kerana merasakan seperti tidak ada peluang.

"Saya rasa 'gila' sekarang. Saya terkejut dengan keputusan ini," kata Eilish yang sudah meraih sembilan trofi pada Anugerah Grammy sejak 2019.

Billie Eilish dan abangnya, Finneas O’Connell dikerumuni penggiat industri selepas kemenangannya. - Foto AGENSI
Billie Eilish dan abangnya, Finneas O’Connell dikerumuni penggiat industri selepas kemenangannya. - Foto AGENSI

Pada Anugerah Grammy Ke-66, lagu What Was I Made For? yang juga salah satu runut bunyi bagi filem Barbie meraih kemenangan menerusi kategori Lagu Terbaik Ditulis Untuk Media Visual.

Selain itu, Eilish turut dicalonkan bagi empat kategori lain iaitu Rakaman Terbaik, Muzik Video Terbaik, Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik dan Persembahan Pop Solo Terbaik.

Anugerah pengiktirafan muzik terbesar itu dikendalikan pengacara dan pelawak, Trevor Noah. - AGENSI

Berita Harian X