Isnin, 5 Februari 2024 | 11:45am
Mike menang kategori Album Rap Terbaik, Lagu Rap Terbaik dan Persembahan Rap Terbaik. - Foto AGENSI
Mike menang kategori Album Rap Terbaik, Lagu Rap Terbaik dan Persembahan Rap Terbaik. - Foto AGENSI

Killer Mike ditahan selepas menang 3 trofi Anugerah Grammy

LOS ANGELES: Penyanyi rap, Killer Mike berdepan detik cemas apabila ditahan dan digari pegawai polis selepas meraih tiga trofi pada Anugerah Grammy Ke-66 yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Menerusi perkongsian video wartawan The Hollywood Reporter, Chris Gardner di aplikasi X, penyanyi berusia 49 tahun itu dibawa ke sebuah bilik di lokasi acara berkenaan, namun punca sebenar penahanannya masih belum dapat dipastikan.

Bagaimanapun, pada hantaran berikutnya, Gardner yang menerima info daripada seorang sumber memberitahu, Mike akan dibebaskan dalam tempoh masa terdekat.

Mike ditahan dan digari pegawai polis selepas meraih tiga trofi pada Anugerah Grammy Ke-66 di Crypto.com Arena, Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS), hari ini. - Foto AGENSI
Mike ditahan dan digari pegawai polis selepas meraih tiga trofi pada Anugerah Grammy Ke-66 di Crypto.com Arena, Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS), hari ini. - Foto AGENSI

Gardner memaklumkan, seperti diberitahu sumber, insiden penahanan yang berlaku hanyalah salah faham dan tiada kaitan dengan apa-apa insiden yang membabitkan Mike.

Pada Anugerah Grammy Ke-66, Mike atau nama sebenar, Michael Santiago Render mengungguli kategori Lagu Rap Terbaik dan Persembahan Rap Terbaik menerusi single Scientists & Engineers.

Penyanyi yang memulakan karier sejak 1995 itu juga meraih trofi Album Rap Terbaik bagi album Michael menewaskan Drake & 21 Savage bagi album Herman Loss; Metro Boomin (Heroes & Villains); Nas (King's Disease III) dan Travis Scott (Utopia). - AGENSI

Berita Harian X