Isnin, 5 Februari 2024 | 11:00am
Wan Sabariah menjelaskan ketika ramai pengguna memboikot produk keluaran syarikat yang ada kaitan dengan konflik Palestin-Israel, NLKO tampil sebagai program yang menaikkan produk tempatan. Foto NSTP Aziah Azmee
Wan Sabariah menjelaskan ketika ramai pengguna memboikot produk keluaran syarikat yang ada kaitan dengan konflik Palestin-Israel, NLKO tampil sebagai program yang menaikkan produk tempatan. Foto NSTP Aziah Azmee

'Resipi' baharu NLKO 2.0

KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun tidak bersiaran, program bual bicara yang sinonim dengan TV9, Nasi Lemak Kopi O (NLKO) kembali menemui penonton saluran itu dengan pelbagai pengisian mantap dan diperbaharui, sejak 17 Januari lalu.

Menampilkan 10 hos dari pelbagai latar belakang iaitu lakonan, pembaca berita dan penyampai radio, program yang pernah menjadi jenama ikonik di TV9, dijangka kembali menduduki takhta sama.

Pengurus Besar, Majalah, Gaya Hidup dan Bual Bicara, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Wan Sabariah Shikh Ali, berkata idea membawa semula NLKO 2.0 mendorong pihaknya memikirkan kaedah terbaik mengembalikan kegemilangan program itu yang pernah mencapai rating lebih 500,000 tontonan pada hujung minggu.

"NLKO adalah jenama ikonik TV9 kerana bermula sejak saluran ini beroperasi pada 2008. Bagaimanapun, selepas 10 tahun bersiaran, NLKO terpaksa ditamatkan atas sebab tidak dapat dielak.

"Ketika zaman kegemilangannya, populariti NLKO setara dengan Malaysia Hari ini (MHI). Rating bagi kedua-dua program di bawah seliaan saya ini sama. Pada asasnya, kedua-dua adalah program bual bicara tetapi ada tiga fungsi iaitu memberi maklumat, mendidik dan menghibur.

"Meskipun NLKO sudah lama tidak disiarkan, jenamanya masih kuat sehingga ada orang awam yang masih ingat dan tegur hos kami. Malah, ada restoran menggunakan logo dan nama NLKO, sekali gus membuktikan jenama NLKO sangat kukuh.

"Jadi, apabila syarikat ingin memperkenalkan semula NLKO, kami anjurkan sesi 'pecah otak' bagaimana NLKO 2.0 kembali mendapat tempat di hati penonton.

Erra (lima dari kanan) bersama sembilan hos gandingan yang mengendalikan NLKO 2.0 yang mula disiarkan TV9 sejak 17 Januari lalu. Foto NSTP Aziah Azmee
Erra (lima dari kanan) bersama sembilan hos gandingan yang mengendalikan NLKO 2.0 yang mula disiarkan TV9 sejak 17 Januari lalu. Foto NSTP Aziah Azmee

"Kami diberi tugas mencadangkan konsep program bual bicara baharu dengan misi yang jelas," katanya pada sidang media mengumumkan hos NLKO 2.0 di ibu negara, baru-baru ini.

Wan Sabariah berkata, ketika ramai pengguna memboikot produk keluaran syarikat yang ada kaitan dengan konflik Palestin-Israel, NLKO tampil sebagai program yang menaikkan produk tempatan.

"NLKO memberi ruang kepada pengusaha tempatan memperkenalkan produk masing-masing dan penonton boleh menyokong barangan tempatan.

"Kami juga tampilkan usahawan yang berjaya di peringkat tempatan dan global berkongsi kisah perjalanan dalam mengusahakan perniagaan sebagai inspirasi. Konsep yang diketengahkan ini sesuai dengan fokus melahirkan masyarakat yang berjaya dan sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup," katanya.

NLKO 2.0 menampilkan primadona filem Melayu iaitu Erra Fazira sebagai hos selain Fizo Omar, Heliza Helmi dan Fakhrul Radhi.

Gandingan disifatkan seimbang ini dilengkapkan dengan penampilan wajah baharu seperti Barr Zaizan, Affizza Azmi, Saree Abdullah, Irfan Ali, Syamira Nazir dan Qila Shahirah.

Wan Sabariah berkata, gandingan 10 hos itu mampu memenuhi misi NLKO 2.0 sebagai program menyalurkan maklumat dan hiburan.

"Sebab itu kita tampilkan hos berasingan daripada Erra, Heliza, Fizo dan Fakhrul. Pengacara lain adalah penyampai radio dan pembaca berita bagi menjadikan program ini seimbang," katanya.

Apa yang menarik, NLKO 2.0 tidak lagi disiarkan pada hujung minggu. Sebaliknya, TV9 memilih menyiarkan musim baharu program bual bicara itu setiap Rabu hingga Jumaat, mulai jam 10.30 pagi selama sejam.

Wan Sabariah berkata, sebelum ini, NKLO mencatat rating tinggi pada hujung minggu. Namun, sejak COVID-19, corak tontonan mula berubah.

"Selepas COVID-19, kita dapati penonton lebih suka meluangkan masa di luar sebagai terapi. Jadi. kita pilih slot siaran Rabu hingga Jumaat mulai jam 10.30 pagi.

"Sasaran kita adalah suri rumah. Pada hari NLKO 2.0 disiarkan, kita perkenalkan produk keluaran pengusaha tempatan. Jadi, pada hari minggu, mereka boleh pergi ke Karnival Jom Heboh bagi mendapatkan barangan terbabit," katanya.

NLKO 2.0 juga memaparkan kapsul Motivasi Secangkir Kopi dikendalikan Datuk Wira Dr Azizan Osman, iaitu mentor, jurulatih perniagaan dan pakar pemasaran di Malaysia untuk berkongsi pengalaman hidup dan motivasi dalam dunia perniagaan.

Selain itu, penonton dihiburkan kumpulan buskers Drum Simfoni.

Berita Harian X