Ahad, 4 Februari 2024 | 3:00pm
Diana bersama suaminya, Farid. Foto IG Diana Danielle
Diana bersama suaminya, Farid. Foto IG Diana Danielle

Diana Danielle berlakon separuh masa, fokus jadi pelajar

KUALA LUMPUR: Pudarnya motivasi beraksi di hadapan kamera selepas lebih dua dekad, membuatkan aktres Diana Danielle, 32, memutuskan untuk menyambung pengajiannya di peringkat A Level dan diploma.

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson berkata, dia pernah menyambung pengajian dalam bidang bioteknologi, bagaimanapun tidak berjaya menghabiskan kerana terikat dengan kerjaya seni.

Justeru, katanya, dia memilih berlakon separuh masa dan fokus sebagai pelajar apabila ada masa terluang memandangkan dua cahaya matanya, Muhammad dan Nur Aurora sudah besar.

"Sesiapa pun kalau buat benda sama lebih 20 tahun, pastinya rasa jemu. Kalau mula bekerja pada usia 20 tahun dan kini, sudah masuk 50 tahun, mungkin saya sudah boleh bersara.

"Jadi, saya rasa takkan ini sahaja yang saya boleh buat. Saya bertanya pada diri sendiri. Takkan saya tak boleh nak teroka apa yang diri saya boleh buat bukan hanya bidang hiburan sahaja.

"Mungkin dalam bidang pendidikan, perniagaan dan pelbagai lagi.

Diana mahu menyambung pengajian pada peringkat A Level dan diploma serta berlakon separuh masa. Foto IG Diana Danielle
Diana mahu menyambung pengajian pada peringkat A Level dan diploma serta berlakon separuh masa. Foto IG Diana Danielle

"Sebab pada usia 30-an ini kita boleh buat keputusan berisiko. Kalau usia 20-an masih mentah, jadi inilah masa untuk saya jadi lebih berani untuk lakukan pembaharuan," katanya kepada BH Online.

Tambah bintang filem Imaginur ini, pengajian itu juga baik buat masa hadapan kerana peringkat A Level dalam subjek kimia, biologi dan psikologi dan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej dan Universiti Antarabangsa (INTI).

"Kedua-dua bidang ini beri manfaat untuk apa yang mahu dilakukan dalam masa hadapan.

"Sebenarnya saya tak tahu apa yang saya mahu buat dalam usia 40-an. Jadi, saya mula ambil langkah untuk perancangan masa hadapan.

"Untuk itu, saya perlu sambung pengajian. Seperti jurusan Pengurusan Perniagaan pastinya saya tubuhkan dan kawal syarikat dengan baik," katanya.

Mengulas pembahagian masa sebagai pelajar dan pelakon, Diana berkata, dia tidak mempunyai masalah kerana menguruskan masanya sendiri.

"Itulah keindahan belajar sendiri. Bila perlu bekerja atau ada projek, saya boleh susun masa.

"Saya lebih fleksibel, selagi boleh siapkan tugasan saya. Insya-Allah, saya boleh buat dan tak mahu tunda sebab orang lain pun kerja juga," katanya.

Selepas lebih seminggu, Diana mengakui, dia seronok berpeluang belajar kerana tidak pernah melaluinya kerana terlalu sibuk dengan penggambaran.

"Saya seronok sebab dulu mungkin saya buat untuk ibu bapa dan masyarakat. Sudah habis Sijil Pelajaran Malaysia, kena sambung belajar, kawan-kawan pun ramai sambung belajar.

"Sekarang saya tak perlu nak buktikan apa-apa. Saya hanya buat untuk diri sendiri dan motivasi itu datangnya daripada niat mahu perbaiki diri dan mencari ilmu bagi menaik taraf hidup.

"Sebab bila sudah dewasa kita ada pemahaman yang lebih dengan apa yang kita nak buat," katanya.

Sebelum ini, Diana berkata dia ada menerima tawaran untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dari tiga universiti, bagaimanapun memilih bermula dengan A Level dan diploma.

"Saya tidak terkejar-kejar nak buktikan apa-apa. Mungkin ada orang ambil ijazah untuk buktikan sesuatu, tapi saya mahu mengambil masa dan berseronok dengan fasa belajar.

"Sebenarnya bukan soal diploma atau ijazah, cuma saya mahu pastikan memahami ilmu yang dipelajari," katanya.

Diana sudah hampir empat tahun tidak menjayakan filem, justeru akan menjayakan satu naskhah bersama pengarah yang belum pernah bekerjasama.

Mendirikan rumah tangga bersama Farid Kamil pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

Berita Harian X