Ahad, 4 Februari 2024 | 1:00pm
Haziq bakal menjayakan Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal bersama Yusni dan Asmidar di DFP pada 2 Mac depan. Foto IG Haziq Rosebi
Haziq bakal menjayakan Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal bersama Yusni dan Asmidar di DFP pada 2 Mac depan. Foto IG Haziq Rosebi

Haziq tertekan dilabel penyanyi istana

KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Irama Malaysia, Haziq Rosebi mengakui gelaran penyanyi istana atau diraja yang diberikan segelintir pihak sememangnya memberi tekanan dan berat untuk dipikul.

Haziq, 36, berkata gelaran itu sedikit sebanyak memberi tanggapan kepada penganjur acara bahawa bayaran harga kayangan yang dikenakan untuk menjayakan persembahan.

"Apabila dilabel penyanyi istana memang berat untuk bawa gelaran ini. Saya biasa-biasa sahaja, tapi bila ada label penyanyi istana memang ada rasa lain sikit.

"Ada juga beranggapan bila menyanyi di istana bayaran besar, tapi sebenarnya tak juga sama sahaja.

"Sejujurnya, gelaran ini juga buat saya kurang selesa, ia ibarat bebanan yang besar. Sebab bila mereka label saya begitu, ada sesetengah pihak yang hendak jemput buat persembahan, mereka rasa bayaran saya terlalu mahal.

"Tapi, bayaran tidak sebegitu dan saya biasa sahaja," katanya kepada BH Online.

Haziq yang juga bekas peserta musim keempat program realiti, Akademi Fantasia (AF4) berkata, tidak semestinya bayaran datang daripada pihak istana sekiranya membuat persembahan di sana.

"Kadang-kadang bukan istana bayar bila buat persembahan. Ada ketika Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) atau penganjur yang mengundang itu bayar, jadi itulah situasi sebenarnya.

"Tapi apabila ada yang panggil saya penyanyi istana atau diraja tetap ada juga rasa bangga," katanya.

Dalam pada itu, Haziq berharap tanda harga diletakkan dapat diterima pihak penganjur kerana apa yang bakal dipersembahkan adalah pengalaman serta ilmu nyanyian yang ditimba sejak 2006.

"Saya sudah menyanyi sejak 2006 dan bukan baru bermula menjejakkan kaki dalam bidang ini. Boleh dikatakan saya ada pengalaman berbelas tahun.

"Kalau ada yang tanya kenapa mahal walaupun menyanyi dua atau tiga lagu sahaja, sebenarnya saya jual pengalaman dan apa yang sudah dipelajari sejak dahulu. Itu pun banyak modal yang perlu dikeluarkan.

"Bagaimanapun, saya terbuka menjayakan sebarang acara dan di mana sahaja. Sama ada di sekolah, universiti, istana atau kenduri kahwin saya terima, jadi harganya juga berbeza," katanya.

Haziq kembali mendapat perhatian sekitar tahun lalu selepas video menyanyikan lagu Lemak Manis dendangan asal Roslan Madun tular di media sosial.

Dalam perkembangan lain, Haziq bakal menjayakan Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal bersama Datuk Yusni Hamid dan Asmidar di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 2 Mac depan.

Berita Harian X