Sabtu, 3 Februari 2024 | 11:09am
Liza ketika sesi latihan bersama pemuzik di studio. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Liza ketika sesi latihan bersama pemuzik di studio. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Liza ketepi sakit demi konsert penuh makna

KUALA LUMPUR: Penyanyi Liza Hanim mengakui konsert sulung berskala besarnya, Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur di ibu negara, malam esok menyimpan makna begitu besar.

Liza, 45, atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim berkata, penganjuran konsert solo yang dirancang sejak Mei tahun lalu adalah peluang bermakna selepas beberapa kali hasrat terbantut kerana sebab tertentu.

"Konsert ini juga begitu besar maknanya buat saya. Ini adalah pencapaian besar dan sasaran saya sejak dahulu. Setiap penyanyi ada harapan untuk buat konsert.

"Selepas beberapa percubaan terutama hendak mencari penaja gagal, jadi tentunya saya teruja bila peluang ini datang. Ini adalah konsert solo pertama saya selepas 27 tahun bergelar penyanyi.

"Boleh sahaja buat 'showcase' di lokasi lebih kecil, tapi tiada kepuasan. Saya ada sasaran sendiri yang dimahukan.

"Walaupun pernah berdepan kegagalan, tapi itu tidak melemahkan kerana semua terjadi pasti ada hikmah. Saya percaya pasti ada rezeki," katanya kepada BH Online.

Pada masa sama, finalis program All Star Gegar Vaganza (ASGV) ini berharap konsert berkenaan mampu memberikan inspirasi kepada orang

ramai supaya tidak mudah mengalah dalam mengejar impian.

"Saya berharap dengan konsert yang diadakan selepas 27 tahun ini dapat berikan inspirasi kepada orang lain.

"Saya hanya mahu orang lihat sesuatu dalam perjalanan mengejar impian untuk mengadakan konsert ini.

"Ramai ucapkan tahniah sebab selepas 27 tahun baru dapat buat konsert. Bagaimanapun, konsert ini tidaklah terlalu besar, kapasitinya lebih daripada 1,000 penonton.

"Saya lihat ada yang mahu bawa buku lirik semasa konsert nanti, jadi saya nampak kesungguhan mereka. Disebabkan itu, saya mahu berikan sepenuh hati," katanya.

Liza harap konsert solonya beri inspirasi kepada orang ramai supaya tak mengalah dalam mengejar impian. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Liza harap konsert solonya beri inspirasi kepada orang ramai supaya tak mengalah dalam mengejar impian. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Mengulas persiapan konsert, Liza berkata, semuanya berjalan lancar biarpun mengalami demam sebelum sakit dada sejak minggu lalu hingga perlu berjumpa doktor dan mengambil ubat.

"Walaupun sakit, tapi saya anggap ini adalah masalah kecil sahaja. Selepas latihan semuanya nampak baik sahaja. Insya-Allah, saya masih dalam keadaan baik.

"Susunan muzik sudah selesai, cuma hendak mempersiapkan apa yang perlu sahaja dengan pasukan muzik lain.

"Menerusi konsert ini juga, ada beberapa lagu yang pernah sekali sahaja dinyanyikan, jadi apa yang akan disampaikan adalah hadiah kepada peminat.

"Mengenai konsep persembahan, saya akan bersederhana sahaja. Ini kerana, kesederhanaan itu adalah saya, hanya fokus kepada vokal dan legasi," kata Liza yang bakal mendendangkan lebih 30 lagu pada konsert itu.

Ibu kepada lima cahaya mata ini menambah, apa yang penting adalah detik pertemuan penuh bermakna bersama peminat selepas 27 tahun bergelar penghibur.

Pada konsert anjuran LH Media Sdn Bhd dan Laugh Out Loud Entertainment itu, Liza bakal menyampaikan untaian lagu hit yang dipetik daripada tujuh album sejak bergelar anak seni.

Liza Hanim 27 Years Journey In Concert turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Liza pernah merakamkan tujuh album studio iaitu Epilog pada 1997, Di Mana Kan Ku Cari Ganti (1998), Puteri Jelmaan (1999), Istimewa (2000), Isyarat Jiwa (2001), Ku Teruskan (2003) dan Imagin (2007).

Berita Harian X