Jumaat, 2 Februari 2024 | 7:27pm
Chew Kin Wah letak harga sebagai langkah menyimpan wang kerana pekerjaan sebagai artis tidak dilindungi insurans, KWSP dan PERKESO. - NSTP/Aizuddin Saad
Chew Kin Wah letak harga sebagai langkah menyimpan wang kerana pekerjaan sebagai artis tidak dilindungi insurans, KWSP dan PERKESO. - NSTP/Aizuddin Saad

Chew Kin Wah didakwa 'langsi', letak harga

KUALA LUMPUR: Aktor veteran, Chew Kin Wah atau nama Islamnya, Anuar Abdullah terpaksa meletakkan harga lebih tinggi kepada syarikat produksi yang ingin melamarnya membintangi sesebuah naskhah.

Kin Wah, 59, berkata ia sebagai langkah untuk menyimpan wang kerana pekerjaan sebagai artis tidak dilindungi insurans, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Sekarang sebenarnya ada peningkatan kepada bayaran. Ini pandangan saya, usia sudah lanjut dan pekerjaan dalam bidang ini tiada KWSP, PERKESO dan insurans.

"Jadi, harga diletakkan mesti sedikit tinggi. Sebab itu saya tetapkan had waktu bekerja selama 12 jam sahaja sehari dan saya mohon maaf kepada pihak produksi mengenai perkara itu.

"Saya buat begitu sebab kalau ada apa-apa masalah di set penggambaran akan menyusahkan produksi.

"Ada yang okay dan ada juga yang sebaliknya cakap saya 'langsi', jadi masalahnya begitulah. Kalau ada harga standard ditetapkan untuk setiap pelakon, itu baguslah," katanya ditemui pada tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Rain Town di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, kelmarin.

Kin Wah yang turut mencipta nama di Indonesia berkata, dia ingin memperjuangkan nasib anak seni supaya mendapat hak sepatutnya.

"Itu juga apa yang ingin pejuangkan supaya semua seniman ada kadar bayaran dan had waktu bekerja ditetapkan. Jangan buat kami seperti apa yang tidak sepatutnya.

"Saya juga tidaklah memilih jika mahu terima tawaran berlakon, sebab saya juga perlu bekerja," katanya.

Chew Kin Wah bersama barisan pelakon pada tayangan perdana filem Rain Town di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, kelmarin. - NSTP/Aizuddin Saad
Chew Kin Wah bersama barisan pelakon pada tayangan perdana filem Rain Town di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, kelmarin. - NSTP/Aizuddin Saad

Mengulas mengenai filem Rain Town yang menjalani penggambaran dua tahun lalu, Kin Wah memberitahu, dia terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta, Indonesia kerana terbabit dengan dua produksi dalam tempoh sama.

"Untuk filem Rain Town ini ada juga cabarannya. Antaranya, saya terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta. Tapi, tetap juga perlu diteruskan kerana ini adalah pekerjaan saya.

"Jika produksi tiada sebarang masalah untuk saya berbuat demikian, tidak mengapa. Semuanya perlu perbincangan teliti dan menyusun jadual dengan baik agar tidak timbul masalah," katanya.

Menerusi filem berbahasa Kantonis arahan Tunku Mona Riza itu, Kin Wah membawakan watak bapa bernama Choo yang terus mencampuri urusan tiga anaknya yang sudah dewasa iaitu Isaac, Alex dan Ruby, sehingga mengabaikan cita-cita dan kebahagiaan mereka.

Konflik dalam keluarga Choo berlaku apabila timbul masalah disebabkan sikap keras kepalanya sehingga apa yang dimahukan memberi kesan kepada anak-anak.

Selain Kin Wah, filem yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 Februari ini sempena Tahun Baharu Cina turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Berita Harian X