Jumaat, 2 Februari 2024 | 12:39pm
Erra sudah melalui hidup tanpa bapa, jadi enggan anaknya melalui nasib sama selepas berpisah dengan Engku Emran. - NSTP/Aziah Azmee
Erra sudah melalui hidup tanpa bapa, jadi enggan anaknya melalui nasib sama selepas berpisah dengan Engku Emran. - NSTP/Aziah Azmee

Erra tak berbalah soal hak penjagaan anak

KUALA LUMPUR: Pasangan berdepan episod perceraian perlu merendahkan ego dan salah seorang harus mengalah demi kebaikan anak.

Pengacara baharu program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O (NLKO) yang kini bersiaran di saluran TV9, Erra Fazira, 50, berkata tiada gunanya berbalah soal hak penjagaan anak semata-mata rasa tidak puas hati dan marah rentetan episod perpisahan.

Perkara itu, Erra yang juga ibu kepada cahaya mata, Engku Aleesya Engku Emran, 15, hanya akan memberikan tekanan kepada anak seterusnya boleh mengganggu tumbesaran mereka.

"Bila berpisah, salah seorang kena mengalah macam mana panas dan tegang sekali pun keadaan pada waktu itu. Saya memilih mengalah sebab tak nak beri tekanan kepada anak.

"Sebagai orang dewasa, kita janganlah rasa berhak buat sesuka hati sebab jadi mangsa adalah anak.

"Kalau dua-dua rentap dan tarik, siapa yang sakit? Tentunya anak, jadi salah seorang kenalah mengalah.

"Saya tahu tempoh ini bukan mudah dan saya juga melalui fasa 'gila' apabila terpaksa melepaskan Engku Aleesya kepada ayahnya.

"Mungkin saya datang daripada keluarga yang berantakan, jadi saya sudah lalui hidup tanpa belaian bapa dan sangat impikan untuk ada bapa.

"Jadi, saya tak mahu Engku Aleesya melalui nasib sama. Bagi saya, anak wajib dapat kasih sayang bapa. Memang sakit terpaksa mengalah, tapi kita sudah dewasa dan matang, perasaan sakit boleh ditolak ke tepi, berbeza dengan anak, mereka belum matang.

"Jangan disebabkan sakit hati, kita nak sakiti pula perasaan anak tanpa memikirkan kesan kepada jiwa mereka," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan hos NLKO baharu di Bangsar, baru-baru ini.

Erra berdepan episod perpisahan dengan bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin kira-kira 12 tahun lalu dipuji antara artis yang pandai menjaga aib sendiri.

Erra pilih mengalah sebab tak mahu beri tekanan kepada anak, Engku Aleesya. - NSTP/Aziah Azmee
Erra pilih mengalah sebab tak mahu beri tekanan kepada anak, Engku Aleesya. - NSTP/Aziah Azmee

Sejak awal perpisahan, tidak pernah kedengaran langsung Erra menjaja cerita kurang enak membabitkan rumah tangganya.

Bintang filem Harimau Malaya itu berkata, dia tidak menghalang orang lain berkongsi masalah rumah tangga dalam media sosial jika mereka merasakan cara melepaskan tekanan.

Erra berpendapat orang luar tidak perlu tahu kemelut dilalui dalam rumah tangga.

"Saya rasa tak perlu orang lain tahu. Apa yang kita dapat, ada orang memilih meluahkan biar satu dunia tahu.

"Ini kerana mungkin ia boleh beri kepuasan. Bagi saya, susah atau senang, jangan terlalu ditunjukkan kepada orang.

"Cukuplah sekadar permukaan sahaja, sebenarnya itu hak masing-masing macam mana nak kawal kandungan yang ingin ditunjukkan dalam media sosial.

"Ada orang mungkin suka tunjukkan kemewahan, tetapi bila diuji dengan kesusahan akan 'sakit'.

"Macam itu juga dengan kebahagiaan dan kesakitan. Satu dunia tak perlu tahu apa yang dilalui, tapi ini hanya pendapat peribadi saya," katanya.

Erra mendirikan rumah tangga Engku Emran pada 2007, tetapi bercerai tujuh tahun kemudian dan dikurniakan Engku Aleesya.

Sebelum itu, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer dan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Berita Harian X