Khamis, 1 Februari 2024 | 11:06am
Diddy menyifatkan pelantikan sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bagi SCIMPA UUM tanggungjawab besar. - Foto IG Diddy Hirdy
Diddy menyifatkan pelantikan sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bagi SCIMPA UUM tanggungjawab besar. - Foto IG Diddy Hirdy

'Ilmu bezakan antara artis dan selebriti'

KUALA LUMPUR: Jiwa pendidik yang tersemai kukuh dalam sanubari seakan tercabar apabila ada dalam kalangan selebriti dan pempengaruh secara terang-terangan mempersoal kepentingan menguasai ilmu atau belajar tinggi-tinggi dalam menjana pendapatan pada era digital.

Sebagai ahli akademik yang tugasnya menyampaikan ilmu, penyanyi yang kini bergelar pensyarah, Dr Diddy Hirdy kesal dengan kenyataan bersifat dangkal itu.

Malah, melalui pengalaman dilalui sejak bergelar tutor di Universiti Utara Malaysia (UUM) kira-kira sedekad lalu, Diddy atau nama sebenar, Syamsul Hiri Muhid, 39, menyifatkan kenyataan itu menyimpang kerana masih ramai insan dahagakan ilmu.

"Sebenarnya, ada beza antara artis dan selebriti. Artis banyak beri sumbangan dan ada nilai positif dalam setiap karya dihasilkan. Selebriti pula lebih mengagungkan perkara bersifat kontroversi tanpa memikirkan kesannya.

"Mereka yang bergelar selebriti atau pempengaruh ini sepatutnya kena berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan. Apa yang mereka cakap itu berpotensi untuk menjadi ikutan.

"Mungkin pengalaman yang mereka lalui menyebabkan individu terbabit berasakan pelajaran itu tidak penting. Namun, itu tidak bermakna mereka bebas beri pendapat tanpa memikirkan kesannya.

"Sebagai pensyarah, saya lihat masih ramai pelajar dahagakan ilmu. Disebabkan itu, mereka bekerja keras untuk menempatkan diri ke universiti.

"Pihak yang anggap pelajaran tidak penting atau tidak relevan mungkin sebab mereka tidak berada dalam posisi pelajar saya itu," katanya kepada BH Online.

Diddy membidas kenyataan pempengaruh yang viral di aplikasi X mendakwa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak penting. Selain pempengaruh terbabit, penyanyi As'ad Motawh turut 'dibelasah' warganet kerana mengeluarkan kenyataan berhubung pembaziran masa ke sekolah melalui sesi podcast.

Diddy yang dicungkil bakatnya menerusi musim keempat program Akademi Fantasia (AF4) menganggap kepentingan menuntut ilmu bukan sekadar mendapatkan sijil, sebaliknya, lebih daripada itu.

"Kita belajar bukan sebab semata-mata hendak dapatkan sijil. Sebaliknya, proses untuk mendapatkan ilmu itu sangat bernilai. Masa itulah kita akan belajar bercampur dan kenal orang sekeliling.

"Proses itulah yang akan didik kita. Secara tidak langsung, ini beri nilai tambah kepada tahap intelektual dan cara pemikiran kita. Sijil adalah yang membuktikan kita sudah melalui proses itu dan berjaya," katanya yang popular dengan lagu Hilang ini.

Diddy bersama isteri dan anak-anaknya. - Foto IG Diddy Hirdy
Diddy bersama isteri dan anak-anaknya. - Foto IG Diddy Hirdy

Ditanya kepentingan ilmu untuk seorang anak seni, Diddy menganggap tidak salah untuk seseorang melengkapkan diri dengan ilmu yang boleh membawa diri ke tahap yang lebih baik.

"Sebagai contoh, jika seseorang pelakon itu ada ilmu dalam seni persembahan, tugas di set penggambaran menjadi lebih mudah berbanding mereka yang tiada ilmu. Tidak perlu ambil masa untuk siapkan sesuatu babak.

"Begitu juga dengan penyanyi. Selain bakat, jika mereka sudah persiapkan diri dengan ilmu, proses rakaman suara di studio jadi lancar.

"Mungkin ada yang akan cakap, mereka boleh belajar melalui pengalaman. Iya, saya tidak nafikan perkara itu. Tetapi, jika ada peluang untuk timba ilmu, mengapa tidak untuk mereka mencuba?

"Sekarang peluang untuk belajar terbuka luas, cuma, hendak atau tidak sahaja," katanya yang teringin bekerjasama dengan penyanyi Aina Abdul untuk single baharu.

Mengulas pelantikan sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bagi Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) UUM berkuat kuasa 15 Januari lalu, Diddy menyifatkan ia tanggungjawab cukup besar.

"Saya tidak pernah terfikir ini akan berlaku dalam sejarah kerjaya saya sebagai pendidik. Niat asal hanyalah hendak jadi pensyarah. Saya anggap pelantikan ini suatu transisi yang sangat drastik dalam karier saya .

"Pencapaian yang saya anggap besar ini hadir bersama tanggungjawab amat berat. Apapun, saya sahut cabaran ini dan berusaha memberi yang terbaik kepada pelajar serta komuniti UUM.

"Saya takkan sia-siakan amanah dan kepercayaan yang diberi ini," katanya.

Berita Harian X