Rabu, 31 Januari 2024 | 6:16pm
Eisya dan Yunuz berkahwin di Pejabat Agama Islam Selangor pada 24 Januari lalu dengan hanya dihadiri ahli keluarga. - Foto Facebook Eisya Nurani
Eisya dan Yunuz berkahwin di Pejabat Agama Islam Selangor pada 24 Januari lalu dengan hanya dihadiri ahli keluarga. - Foto Facebook Eisya Nurani

Jodoh Eisya Nurani dengan cinta pertama selepas 22 tahun

KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah... doakan jodoh saya kali ini kekal sehingga ke akhir hayat ya. Kalau boleh saya tak nak naik pelamin lagi dah," gurau penyanyi Eisya Nurani mengulas berkenaan perkahwinan ketiganya dengan suami, Mohd Yunus Mohd Salleh.

Eisya atau nama sebenarnya, Khairul Bariyah Ahmad, 48, yang popular menerusi lagu Nurani, tidak menyangka perkenalan sejak 22 tahun lalu akhirnya sampai ke jenjang pelamin.

"Mungkin ramai terkejut dengan perkahwinan ini. Sebenarnya saya sudah lama berpisah dengan suami kedua iaitu pada awal tahun lalu.

"Selepas itu, jodoh saya apabila bertemu semula dengan kawan lama yang dikenali sejak awal menyanyi dulu. Selepas 22 tahun, kami ada jodoh juga rupanya.

"Suami, Yunus atau nama panggilannya Yunuz, 49, adalah penyampai radio Brunei dan bekerja dengan RTB. Kami bertemu ketika saya buat promosi album Nurani di Brunei.

"Kami berjumpa lagi seterusnya semasa saya buat konsert dengan Senario di sana. Dia banyak bantu promosi lagu saya," katanya kepada Harian Metro.

Selain penyampai radio, Yunuz turut bergelar pengacara, penyanyi, pelakon dan penerbit.

"Sebenarnya dulu Yunuz pernah datang berjumpa arwah abah saya, tapi jodoh kami tiada. Ia disebabkan waktu itu saya baru dua minggu bertunang dengan bekas suami pertama.

"Yunuz bercerai dengan bekas isteri pada 2020. Dia kemudian cari saya semula, tapi saya sudah berkahwin dengan bekas suami kedua.

"Kini masing-masing dah single, jadi kami putuskan untuk sambung semula ikatan dengan perkahwinan. Allah bagi jodoh semula untuk kami berdua," katanya.

Eisya yang juga pelakon filem Gemerlapan terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd berkata, dia terlebih dahulu menghubungi ibunya untuk meminta restu dan mendapatkan persetujuan.

"Tiada halangan dari emak. Itu yang kami ambil keputusan kahwin di Pejabat Agama Islam Selangor pada 24 Januari lalu yang dihadiri keluarga suami dan saya.

"Saya pasti ramai terkejut dengan berita ini. Malah, saya pun terkejut juga kerana prosesnya amat cepat seperti mimpi.

"Rakan artis yang tahu berkenaan perkara ini hanyalah Farouk Hussain kerana dia pernah berurusan dengan suami di Brunei, baru-baru ini.

"Insya-Allah majlis kenduri mungkin akan diadakan selepas ini. Yang penting kami dahulukan perkara wajib," katanya.

Eisya juga belum mempunyai perancangan lagi buat masa ini untuk menetap di Brunei.

Menerusi perkahwinan pertama, Eisya dikurniakan tiga cahaya mata, Kasih Muhammad Haikal, 22, Kasih Muhammad Faris, 17, dan Kasih Ayesha Yasmin, 12.

Manakala Yunuz mempunyai empat cahaya mata, iaitu tiga perempuan yang kesemuanya sudah berkahwin dan seorang lelaki.

Berita Harian X