Rabu, 31 Januari 2024 | 6:01pm
Fizo tumpang gembira dan mendoakan kebahagiaan Mawar bersama pasangannya jika benar berita perkahwinannya itu sahih.
Fizo tumpang gembira dan mendoakan kebahagiaan Mawar bersama pasangannya jika benar berita perkahwinannya itu sahih.

Fizo hanya dengar, tak pasti Mawar sudah berkahwin

KUALA LUMPUR: Pengacara program Nasi Lemak Kopi O (NLKO), Fiza Omar mengakui mendengar khabar angin mendakwa bekas isterinya, Mawar Karim sudah berkahwin, namun tidak pasti sejauh mana kebenarannya.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 38, berkata dia mendengar berita perkahwinan Mawar sejak tahun lalu, tetapi tidak pernah bertanyakan soal peribadi kepadanya.

"Rasanya khabar angin itu sudah lama kedengaran, sejak tahun lalu. Namun, saya tak pasti benar atau tidak.

"Biasanya kami hanya berhubung soal anak. Rasanya kurang manis nak bertanya soal lain, saya hanya bekas suami," katanya ketika ditemui BH Online pada majlis memperkenalkan hos program NLKO, hari ini.

Bagi mendapatkan pengesahan, Fizo menyarankan agar berita itu ditanyakan kepada Mawar sendiri.

Bagaimanapun, Fizo berkata, dia tumpang gembira dan mendoakan kebahagiaan Mawar bersama pasangannya jika benar berita itu sahih.

"Kalau betul baguslah, saya doakan kebahagiaan Mawar. Itu akan jadi kelebihan buat anak, Wan Maryam Wan Hafizol kerana memiliki dua ibu dan dua bapa.

"Bagi saya, manusia dicipta untuk berpasangan baik lelaki mahupun perempuan.

"Sekurang-kurangnya ada orang dapat membentuknya. Bukan kata dia (Mawar) tak baik, tetapi dalam perkahwinan suami perlu bentuk isteri.

"Harap bila masing-masing sudah berpasangan kita boleh bercuti bersama bawa anak, itulah menjadi kebahagiaan," katanya.

Fizo bersama rakan pengacara pada majlis memperkenalkan hos program NLKO, hari ini. - NSTP/Aziah Azmee
Fizo bersama rakan pengacara pada majlis memperkenalkan hos program NLKO, hari ini. - NSTP/Aziah Azmee

Sementara itu, Fizo tidak menafikan ada mengucapkan tahniah kepada Mawar menerusi video yang tular, tetapi berteka-teki tujuan ucapan itu dilakukan.

Terdahulu, timbul dakwaan mengatakan Mawar sudah menamatkan zaman janda dengan ahli perniagaan.

Fizo dan Mawar berkahwin pada November 2013, namun bercerai pada Julai 2019.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Wan Maryam yang kini berusia enam tahun.

Fizo kemudian mendirikan rumah tangga dengan Fazeera Nazri Azrai pada 21 Oktober 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Berita Harian X