Rabu, 31 Januari 2024 | 1:12pm
Intan berkongsi, banyak babak terpaksa diubah untuk disesuaikan dengan situasi semasa memandangkan penggambaran perlu mengikut SOP ditetapkan FINAS ketika fasa PKP. - NSTP/Amiruddin Sahib
Intan berkongsi, banyak babak terpaksa diubah untuk disesuaikan dengan situasi semasa memandangkan penggambaran perlu mengikut SOP ditetapkan FINAS ketika fasa PKP. - NSTP/Amiruddin Sahib

Skrip Banglo Seksyen 12 dirombak tiga kali

KUALA LUMPUR: Penantian tiga tahun melihat filem sulung, Banglo Seksyen 12 ditayangkan di pawagam berakhir selepas karya bergenre seram itu mula menemui penggemar filem sejak 25 Januari lalu.

Julung kali menerbitkan filem di bawah rumah produksi miliknya iaitu Prisma Pictures Sdn Bhd, pelakon Intan Ladyana mengakui banyak cabaran terpaksa dilalui sebelum filem berjaya disiapkan sepenuhnya.

Disebabkan kekangan tidak dapat dielakkan, Intan yang juga bertindak sebagai pengarah bersama rakan, Dharma Nasution memaklumkan mereka terpaksa membuat perubahan terhadap filem adaptasi daripada novel popular itu.

"Penggambaran filem ini dibuat ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua. Selepas penggambaran dibuat separuh jalan, tiba-tiba kerajaan umumkan PKP.

"Saya memang panik, maklumlah kali pertama terbitkan filem. Bagaimanapun selepas sebulan berehat, barulah penggambaran disambung semula.

"Saya risau sebab ada pelakon dan kru produksi terbabit dengan job lain. Tak dinafikan agak terkejar-kejar kerana saya buat tiga tugas sekali gus termasuk berlakon.

"Mujur untuk pengarahan, saya hanya buat 30 peratus sahaja, manakala selebihnya diuruskan Dharma. Alhamdulillah, penggambaran akhirnya berjalan lancar dan seterusnya dapat ditayangkan, tahun ini," katanya kepada BH Online.

Intan berkata, banyak babak terpaksa diubah untuk disesuaikan dengan situasi semasa memandangkan penggambaran dibuat dalam keadaan terhad kerana perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Sepatutnya ada babak membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam filem ini, namun disebabkan keterbatasan dihadapi, kami menggantikannya dengan babak lain.

"Skrip juga terpaksa dirombak tiga kali sebelum kami berpuas hati dan mendapat persetujuan penulis asal novel, Hasrudi Jawawi," katanya.

Intan bersama barisan pelakon ketika majlis tayangan filem Banglo Seksyen 12 di Lalaport, BBCC, di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Amiruddin Sahib
Intan bersama barisan pelakon ketika majlis tayangan filem Banglo Seksyen 12 di Lalaport, BBCC, di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Amiruddin Sahib

Mengulas pemilihan genre seram untuk karya sulungnya itu, Intan tidak menolak ia ada kaitan dengan minatnya.

"Saya penggemar filem seram. Kalau tengok wayang ataupun saluran penstriman, saya akan pilih filem seram. Saya kurang tonton filem berunsur romantik komedi.

"Selain itu, kebanyakan filem lakonan saya lebih kepada genre seram dan aksi kalau dilihat sepanjang pembabitan dalam bidang lakonan.

"Lagipun filem seram memang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas serta ada peminat tersendiri. Orang tetap akan tonton," katanya ditemui pada majlis tayangan filem Banglo Seksyen 12 di Lalaport, BBCC, di ibu negara, baru-baru ini.

Banglo Seksyen 12 berkisar pembunuhan misteri sekumpulan remaja pada 2006 di sebuah banglo yang kemudian menjadi lokasi kegemaran kumpulan paranormal membuat penggambaran sebagai kandungan dalam platform digital.

Selain Intan, filem itu turut dibintangi Mustaqim Bahadon, Hariz Hamdan, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Faez Malek, Farah Yasmin dan Faris Fitri.

Sementara itu, pemilik nama lengkap Intan Nurladyana Mohamat Yahaya ini turut memberitahu filem itu dibikin menerusi bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM500,000 melalui projek Inkubator oleh FINAS.

"Memandangkan syarikat masih baharu dan belum ada pengalaman dalam bidang penerbitan, kami diletakkan di bawah projek Inkubator yang diperkenalkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

"Produksi saya antara 10 syarikat terpilih menjadi perintis kepada projek Inkubator. Selain menyalurkan bantuan kewangan, mereka juga menyediakan bengkel kepada penerima dana.

"Bengkel ini banyak membantu kami dari segi pengurusan produksi dan ia berkaitan perkara asas yang perlu diketahui sebelum menerbitkan filem. Daripada 10 syarikat produksi, empat produksi sudah mengeluarkan filem," katanya.

Berita Harian X