Selasa, 30 Januari 2024 | 6:18pm
Hidayah akhirnya buka mulut, jejaka misteri yang bergambar dengannya adalah anak saudara.
Hidayah akhirnya buka mulut, jejaka misteri yang bergambar dengannya adalah anak saudara.

Bukan tunang, jejaka misteri anak saudara Hidayah

KUALA LUMPUR: Balu kepada Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali yang mencuri perhatian selepas memuat naik gambar bersama jejaka misteri, akhirnya menjelaskan bahawa itu adalah anak saudaranya.

Perkara itu diketahui umum selepas pelayar media sosial Facebook (FB) meninggalkan komen pada hantaran foto dimuat naik Hidayah dengan menyebut fizikal jejaka berkenaan lebih tinggi berbanding ibu saudaranya (Hidayah).

Hidayah kemudian membalas komen berkenaan dengan memberitahu, dia sengaja bergambar dengan anak saudaranya kerana mahu membandingkan ketinggian sesama mereka.

"Betul anak saudara lebih tinggi berbanding mak saudaranya. Saja nak tunjuk anak saudara tinggi," tulis Hidayah di ruangan komen.

Dalam pada itu, seorang lagi pelayar yang dipercayai pengikut Hidayah di aplikasi berkenaan memberitahu, Hidayah masih belum lagi bertunang seperti yang dilaporkan media, baru-baru ini.

Bagaimanapun, usaha mendapat penjelasan lanjut Hidayah tidak berhasil apabila panggilan telefon tidak dijawab.

Kelmarin, Hidayah mengundang perhatian ramai selepas memuatnaik foto di Instagram (IG) yang memaparkan dirinya berada atas pelamin sambil memegang sejambak bunga bersama seorang jejaka bersongkok.

Perkongsian itu menerima ucapan tahniah daripada rata-rata pengikutnya apabila disangka sudah menemui pengganti arwah Abam, sekali gus melangsungkan majlis pertunangan.

Terdahulu, Allahyarham Abam dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Syed Uthman Hamzah Al Juffrey, 4.

Arwah Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas pada usia 32 tahun.

Berita Harian X