Selasa, 30 Januari 2024 | 6:01pm
Mila teruja rakamkan lagu balada sentuhan Amylea Azizan selepas enam tahun tidak menghasilkan single baharu. - NSTP/Hazreen Mohammad
Mila teruja rakamkan lagu balada sentuhan Amylea Azizan selepas enam tahun tidak menghasilkan single baharu. - NSTP/Hazreen Mohammad

Enam tahun Mila pujuk suami nak rakam single baharu

KUALA LUMPUR: Penyanyi Mila Jirin, 35, akhirnya mendapat lampu hijau daripada suaminya, Isz Mustapha untuk kembali ke studio rakaman.

Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima itu mengakui sangat teruja merakamkan lagu balada sentuhan Amylea Azizan selepas enam tahun tidak menghasilkan single baharu.

Mila berkata, dia bukanlah ingin membuat 'comeback' dalam dunia nyanyian, sebaliknya ingin melepaskan rindu yang sekian lama terpendam.

Katanya, pelawaan Amylea tepat pada masa ketika sedang mencari lagu baharu untuk dirakam.

"Amylea hubungi saya, dia beritahu ada satu lagu sangat sesuai untuk saya. Secara kebetulan, saya sedang mencari lagu baharu.

"Bila dengar demo lagu berentakan balada, saya terus bersetuju.

"Saya sukakan lagu balada, tetapi dulu saya banyak nyanyikan lagu rancak mungkin sebab faktor umur masih muda.

"Saya rakam lagu bukan sebab nak kembali memenuhi undangan pentas, sebaliknya hanya lepaskan rindu.

"Ini pun bukan mudah nak pujuk suami berikan keizinan. Selepas anak sekolah dan bisnes makin stabil barulah suami izinkan," katanya yang ditemui pada majlis resepsi Amylea Azizan, baru-baru ini.

Mila bersama suami, Isz Mustapha dan anaknya, Arif Zikri. - Foto IG Mila Jirin
Mila bersama suami, Isz Mustapha dan anaknya, Arif Zikri. - Foto IG Mila Jirin

Mila atau nama sebenarnya, Noorsyarmilla Jirin berkata, dia tidak menyangka nyanyian secara suka-suka dalam aplikasi TikTok mendapat maklum balas positif hingga ada yang memintanya kembali aktif menyanyi.

"Saya tak sangka ramai beri maklum balas positif, banyak juga tawaran yang diterima selepas menyanyi dalam TikTok.

"Tapi maaf sangat buat masa ini saya tak dapat memenuhi undangan nyanyian, kecuali program televisyen atau yang berkaitan.

"Saya kena pujuk suami dahulu, sebab nak dapatkan keizinan rakamkan lagu pun ambil masa selama enam tahun. Jadi, saya lakukannya selangkah demi selangkah," katanya.

Tambahnya, ada juga kalangan pelanggan pakej perkahwinan memintanya menyanyi pada majlis perkahwinan, tetapi turut ditolak Mila.

"Memang ramai pelanggan minta saya nyanyi pada majlis perkahwinan, tapi saya terpaksa tolak.

"Jika saya secara kebetulan buat tinjauan di dewan, saya hadiahkan juga satu atau dua lagu secara percuma sebagai tanda penghargaan," katanya.

Berita Harian X