Selasa, 30 Januari 2024 | 4:14pm
Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun akan menjadi saksi jatuh bangun dalam perjalanan karier Nana yang tidak semuanya manis. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun akan menjadi saksi jatuh bangun dalam perjalanan karier Nana yang tidak semuanya manis. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Nana nafi nikah, 'bersanding' sempena konsert 25 tahun

KUALA LUMPUR: Terus menolak dakwaan berkahwin, penyanyi Siti Nordiana mengumumkan bakal mengadakan Konsert Memori Berkasih 25 Tahun di Zepp Kuala Lumpur pada 11 Mei depan.

Siti Nordiana atau lebih mesra di sapa Nana memohon maaf sekiranya ada pihak yang salah faham.

"Saya dengan rendah hati memohon maaf jika ada pihak yang salah faham dan menyangka saya akan mendirikan rumah tangga selepas tersebarnya foto mengenakan busana pengantin, baru-baru ini.

"Sebenarnya fotografi ini khusus untuk acara istimewa, julung kali dan sangat bermakna ini.

"la untuk konsert perdana sepanjang lebih dua dekad saya berkecimpung dalam dunia seni khususnya muzik iaitu Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun.

"Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun terlalu istimewa kerana akan menjadi panggung dan 'pelamin khas' untuk saya meraikan karier bersama peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muzik selama ini," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, spekulasi Nana bakal berkahwin kali kedua hangat diperkatakan selepas foto penyanyi berusia 39 tahun itu menyarung gaun pengantin berwarna putih tersebar.

Nana mohon maaf jika ada pihak salah faham dan menyangka dirinya akan berkahwin selepas tersebarnya foto mengenakan busana pengantin, baru-baru ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Nana mohon maaf jika ada pihak salah faham dan menyangka dirinya akan berkahwin selepas tersebarnya foto mengenakan busana pengantin, baru-baru ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Nana mengaku, ada sesuatu istimewa di sebalik tersebarnya foto mengenakan gaun pengantin berwarna putih itu.

"Menyarung busana kahwin barangkali sinonim dengan acara pernikahan tetapi 'perkahwinan' ini bukan bertemu jodoh dengan seorang lelaki sebaliknya meraikan peminat yang menjadi tulang belakang karier saya," katanya.

Penyanyi kelahiran Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun akan menjadi saksi jatuh bangun dalam perjalanan karier yang tidak semuanya manis, namun setiap satu diambil sebagai pengalaman untuk kekal relevan dengan pasaran masa kini.

Katanya, Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun itu akan menggamit nostalgia peminat menerusi lagu-lagu seperti Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Tak Upaya Menangis Lagi sehingga Satukan Rasa.

"Sebenarnya konsert ini dirancang sebulan lalu, namun saya masih di awangan ketika diberitahu mengenai perancangan konsert. Sebelum ini, bukan saya tak mahu buat konsert, tapi tiada rezeki.

"Alhamdulillah, nampaknya 2024 ini ada rezeki saya mengadakan konsert solo," katanya.

Pada malam konsert, peminat hadir perlu menyarung busana 'Memori Silam' untuk larut dalam momen dan sejarah yang bakal tercipta menerusi konsert yang dibawa oleh Icon Entertainment itu.

Berita Harian X