Isnin, 29 Januari 2024 | 3:33pm
Baby Shima (tengah) ketika beraksi pada Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur, kelmarin. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali
Baby Shima (tengah) ketika beraksi pada Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur, kelmarin. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali

Mana ada seksi, but panjang tutup paha saya - Baby Shima

KUALA LUMPUR: Baby Shima tidak menganggap busana dan gelekan dipersembahkan pada Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur, kelmarin, sebagai keterlaluan.

Baby Shima atau nama sebenar, Nor Ashima Ramli, berkata 'dress' singkat rona hitam dipadankan dengan seluar pendek ketat dan but tinggi yang digayakan sesuai dengan konsep persembahan.

"Pakaian digayakan hasil sentuhan pereka fesyen Indonesia, Jessie Gunawan. Ia sesuai dengan corak persembahan saya yang memerlukan pergerakan lincah di pentas mega itu.

"Saya patuh pada kod berpakaian ditetapkan penganjur lebih awal iaitu jangan menggayakan persalinan mendedahkan (tubuh badan) selain beberapa syarat tambahan.

"Mana ada seksi, but panjang itu juga menutup paha saya. Malah, daripada segi tarian, saya hanya beri 50 peratus gelekan supaya tidak dituduh sengaja tunjuk aksi menghairahkan," katanya ditemui sebaik konsert berakhir.

Baby Shima yang mencipta nama di Indonesia berkata, sebagai penyanyi dangdut, pemilihan pakaian perlu sesuai dengan konsep persembahan. Namun, akuinya, soal sensitiviti khalayak turut diberi perhatian.

Justeru, Baby Shima enggan memikirkan pandangan atau tuduhan dilemparkan segelintir pihak yang disifatkan hanya pandai mengkiritik.

"Kalau tengok saya di luar, tidaklah seksi mana, macam biasa sahaja. Malah, dalam mana-mana persembahan pentas, pakaian saya masih berpada-pada.

"Jangan sebab saya bawakan lagu dangdut terus label macam-macam. Apa pun, saya sudah lali sebab orang kalau tidak suka, dia terus korek salah kita," katanya.

Pada konsert anjuran Mission Sight Sdn Bhd itu, Baby Shima mempersembahkan lagu Pura-Pura Bujang, Pantun Janda, Ikan Dalam Kolam dan berduet bersama penyanyi Indonesia, Thomas Arya menerusi lagu Satu Hati Sampai Mati.

Selain Baby Shima, Konsert Milenia 2024 menampilkan penyanyi jolokan Ratu Dangdut, Amelina dengan beberapa rakan seperjuangan seperti Mas Idayu dan Ani Mayuni. Tidak ketinggalan, penyanyi popular Indonesia, Rheyna Morena dan Hesty Klepek.

Berita Harian X