Isnin, 29 Januari 2024 | 2:50pm
Riz tidak gelap mata untuk menerima habuan lumayan penerbit filem antarabangsa yang mahu dia lakonkan babak bercumbu dengan pelakon gandingan. Foto IG Riz Amin
Riz tidak gelap mata untuk menerima habuan lumayan penerbit filem antarabangsa yang mahu dia lakonkan babak bercumbu dengan pelakon gandingan. Foto IG Riz Amin

Riz Amin tolak adegan bercumbu dalam filem antarabangsa

KUALA LUMPUR: Aktor Riz Amin mendedahkan pernah menerima tawaran penerbit filem antarabangsa yang mahukan dia melakukan babak bercumbu dengan pelakon gandingannya, namun, ditolak.

Riz atau nama sebenar, Norizam Amin Nordin, 38, berpegang prinsip tidak menjayakan adegan intim keterlaluan apatah lagi babak 'soft porn' berikutan sudah berkahwin dan mempunyai anak.

"Tidak banyak babak pun, ada beberapa adegan sahaja. Ada satu babak cium mulut dengan pelakon luar di kelab malam.

"Saya balik dan tanya isteri. Saya beritahu ini peluang yang bagus dari luar negara, bayarannya pun berbaloi.

"Isteri saya cakap, kalau awak waras, awak sanggup buat benda ini? Awak hendak kecaman untuk popular dengan cara buruk atau baik?

"Ister juga beritahu, apa orang akan fikir pasal dirinya, iaitu sebagai isteri yang izinkan suami berlakon babak begitu? Jadi, saya tolak. Apabila difikir semula, Allah hendak duga kita sama ada mahu terima atau tidak," katanya kepada BH Online.

Riz berkata, dia berbincang dengan pengarah serta syarikat produksi terbabit untuk menggunakan helah kamera, dalam babak bercumbu, namun, ditolak.

Sehubungan itu, Riz yang membintangi drama Bukan Puteri Lindungan Bulan berharap syarikat produksi antarabangsa mahu pun tempatan dapat menghormati prinsip atau batasan ditetapkan pelakon.

"Saya risau apabila tengok babak intim makin banyak dalam naskhah kita. Saya risau dengan generasi muda atau warga tua yang menonton," katanya.

Bekas peserta Hero Remaja 2003/2004 ini menganggap bergantung kepada kreativiti pengarah dan penulis untuk menyampaikan mesej menggunakan cara selain babak lucah.

"Bagi saya, kalau hendak beri mesej yang tidak okay atau kotor, anda boleh kosongkan skrin dan sebagainya. Janganlah sampai melampaui batas. Penonton pasti kanak-kanak, jadi, kita mahu didik mereka dengan adegan sebegitu?" katanya.

Riz berpendapat perlu ada agensi atau pihak berkuasa yang boleh menegur syarikat produksi yang menggunakan elemen 'soft porn' dalam menarik penonton.

"Lembaga Penapis Filem (LPF) dan sebagainya takkanlah lepas begitu sahaja. Jadi, pihak seperti ini kena memainkan peranan," katanya.

Berita Harian X