Ahad, 28 Januari 2024 | 6:01pm
Barisan penyanyi dan hos ketika Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Barisan penyanyi dan hos ketika Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Dua jam tak cukup 'bergelek'

KUALA LUMPUR: Kolaborasi antara penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia menerusi Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur memberikan pengalaman mengujakan, semalam.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu seolah-olah tidak cukup untuk peminat tegar dangdut terus bergelek selepas sekian lama tidak dapat menyaksikan persembahan penyanyi pujaan masing-masing.

Dengan menampilkan penyanyi dari Malaysia iaitu Amelina, Mas Idayu, Baby Shima, Ani Mayuni termasuk penyanyi Indonesia seperti Rheyna Morena, Hesty Klepek dan Thomas Arya, Konsert Milenia 2024 memberikan pengalaman berbeza.

Bukan itu sahaja, konsert yang turut menghimpunkan lebih 1,000 peminat Malaysia dan Indonesia yang dilihat saling berpadu memberi sokongan kepada barisan penyanyi di pentas.

Lagu-lagu yang dibawakan setiap penyanyi dengan iringan pemuzik dari Indonesia cukup menghiburkan, sekali gus menambah seri konsert.

Hesty Klepek (kiri) dan Mas Idayu (kanan) menghiburkan dengan mendendangkan lagu popular mereka. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Hesty Klepek (kiri) dan Mas Idayu (kanan) menghiburkan dengan mendendangkan lagu popular mereka. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Antara lagu dangdut popular dipersembahkan termasuklah Cintaku 100% nyanyian Mas Idayu, Dasar Buaya Cinta (Ani), Cintaku Klepek Klepek (Hesty), Memori Daun Pisang (Amelina) dan Pura-Pura Bujang (Baby Shima).

Thomas tampil membuat persembahan penutup menyampaikan lagu hit dendangannya, Berbeza Kasta dan Bunga.

Konsert anjuran Mission Sight Sdn Bhd itu juga menampilkan Along Cham dan Angah Raja Lawak selaku hos yang berjaya menceriakan suasana.

Terdahulu, Konsert Milenia 2024 tertangguh sebanyak tiga kali apabila penganjur berdepan masalah untuk mendapat kelulusan permit, selain berdepan dengan faktor luar jangka yang tidak dapat dielakkan.

Berita Harian X