Ahad, 28 Januari 2024 | 3:01pm
Sifat jujur dan keikhlasan Ash berjaya menambat hati Amylea. - NSTP/Hazreen Mohamad
Sifat jujur dan keikhlasan Ash berjaya menambat hati Amylea. - NSTP/Hazreen Mohamad

Amylea sukar temui lelaki jujur, tak 'plastik' seperti suami

KUALA LUMPUR: Bertemu jodoh pada usia 37 tahun tidak pernah diimpikan penyanyi dan komposer, Amylea Azizan.

Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya apabila bertemu jodoh dengan anggota bomba dari Singapura, Mohammad Aqbar Mohamad atau Ash, 41, penghujung tahun lalu.

Semalam, Amylea dan Ash mengadakan majlis resepsi di Bizmilla Wedding Hall, Subang.

Tampil dengan gaun kembang rona putih, Amylea juga tidak pernah terfikir soal zuriat memandangkan belum bertemu jodoh ketika itu.

"Memanglah saya pengantin baharu, tetapi saya pengantin tua. Kebanyakan teman baik sudah berkeluarga, jadi saya hanya tumpang kasih dan menyayangi anak mereka seperti anak sendiri.

"Saya tak pernah terlintas ada anak sendiri. Tapi, Allah temukan saya dengan suami, jadi soal zuriat saya serahkan kepada takdir.

"Ada atau tidak, doakan saya bersedia terima dengan reda segala diaturkan oleh Allah," katanya kepada BH Online.

Mengulas keistimewaan dimiliki suami, Amylea berkata, sifat jujur dan keikhlasan Ash berjaya menambat hatinya.

"Saya berjumpa dengan ramai orang sepanjang 18 tahun dalam industri. Daripada orang asing, tak berkawan hingga jadi kawan.

"Tapi saya tidak pernah jumpa orang yang sangat ikhlas dan tak 'plastik' seperti Ash.

"Segala yang Ash cakap adalah ikhlas daripada hatinya. Susah nak cari orang yang sayang saya seperti suami.

"Alhamdulillah, saya tak pernah rasa bahagia macam dirasakan sekarang," katanya.

Amylea dan Ash serah soal zuriat kepada ketentuan takdir memandangkan berkahwin lewat. - NSTP/Hazreen Mohamad
Amylea dan Ash serah soal zuriat kepada ketentuan takdir memandangkan berkahwin lewat. - NSTP/Hazreen Mohamad

Berkongsi mengenai majlis resepsi, Amylea berkata, persiapan majlisnya dilakukan dalam tempoh 72 jam dan dalam keadaan kelam kabul berikutan sibuk menyiapkan lagu, selain ada urusan keluarga.

"Saya terharu dan berterima kasih kepada rakan-rakan kerana bantu memudahkan urusan majlis. Sebenarnya saya sibuk menyiapkan lima lagu dan sedang mengejar 'deadline' sebelum majlis.

"Jadi persiapan dibuat dalam keadaan kelam kabut. Saya juga berterima kasih kepada Mila Jirin menjadi penyelamat banyak perkara pada saat akhir. Apa yang tak cukup, Mila tolong cukupkan.

"Keluarga baru pindah rumah, semuanya berlangsung serentak jadi memang agak serabut. Suami pula terpaksa ulang alik setiap minggu, namun tapi Alhamdulillah semuanya dipermudahkan bila rakan jadi perancang perkahwinan," katanya.

Majlis respesi penyanyi lagu Melepaskanmu itu dihadiri 400 tetamu termasuk ahli keluarga dan rakan Ash dari Singapura.

Yang turut hadir, Jaclyn Victor, Fasha Sandha, Uqasha Senrose, Nabila Razali, Diana Danielle, Ummi Nazeera, Ali Sariah Masdo, Dina Nadzir serta ramai lagi.

Berita Harian X