Ahad, 28 Januari 2024 | 11:00am
Erra enggan bergantung kepada lelaki, bimbang hati disakiti. - NSTP/Rohanis Shukri
Erra enggan bergantung kepada lelaki, bimbang hati disakiti. - NSTP/Rohanis Shukri

'Masih ibu tunggal usia 50'

KUALA LUMPUR: Jendela menuju relung hati bintang jolokan Primadona Filem Melayu ini tidak pernah tertutup sejak berpisah dengan bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin, sedekad lalu.

Namun, itu tidak bermakna begitu mudah buat aktres jelita, Erra Fazira mencari pengganti bagi mengisi kekosongan diri.

Meskipun sudah beberapa kali 'dijodohkan' dalam media sosial, namun jawapan terpacul daripada mulut pemilik nama lengkap Fazira Wan Chek ini tidak pernah berubah, masih menggalas status ibu tunggal dan kekal bahagia dengan gelaran itu.

Bagi Erra, definisi bahagia setiap insan berbeza-beza dan untuk dirinya kebahagiaan tidak seharusnya bergantung kepada manusia.

"Bahagia sangat subjektif dan jujurnya, saya bahagia meskipun hidup bersendiri. Ada orang bila ada pasangan barulah rasa bahagia, manakala saya pula berpendapat kebahagiaan bukan bergantung kepada manusia.

"Kita boleh cipta kebahagiaan dengan cara yang kita mahu. Kalau nak bahagia pun bersyarat, susahlah macam tu...

"Bila terlalu bergantung dengan manusia, mereka boleh tumbangkan dan sakitkan hati kita," katanya kepada BH Online.

Disebabkan status yang masih belum bergelar isteri, pelakon filem Rumah itu mengakui pernah ada dalam kalangan teman-teman cuba mengatur jodoh untuknya secara rahsia.

"Mereka ajak saya keluar makan, tapi tiba-tiba ada lelaki ikut bersama. Rupa-rupanya mereka nak 'jodohkan' saya dengan lelaki berkenaan.

"Saya faham niat mereka baik dan prihatin dengan apa yang terjadi, tapi saya tak selesa dengan apa yang dilakukan. Adalah juga saya membebel supaya tak ulang perbuatan sama pada masa akan datang.

"Kalau boleh saya lebih selesa cari sendiri bakal suami. Masalahnya, saya tak suka nak keluar rumah, jadi macam mana nak jumpa jodoh," cerita Erra sambil tertawa.

Diusik saranan cari bakal suami menggunakan aplikasi laman cari jodoh, ibu kepada cahaya mata perempuan yang semakin meningkat remaja, Engku Aleesya Engku Zainal Abidin itu menolak berbuat demikian.

"Tak naklah guna aplikasi cari jodoh, nanti jadi mangsa 'scammer' pula," ungkapnya ringkas.

Erra tekankan kesihatan dan penjagaan wajah dalam usia menjengah 50 tahun. - NSTP/Rohanis Shukri
Erra tekankan kesihatan dan penjagaan wajah dalam usia menjengah 50 tahun. - NSTP/Rohanis Shukri

Mengulas status diri yang masih solo terus menjadi bahan perbualan, Erra akur kerana menyedari itu adalah lumrah kehidupan selebriti sepertinya.

"Saya pun tak tahulah kenapa suka sebar gosip, mungkin ada hikmahnya… Ada pro dan kontra. Kebaikannya, bermakna orang masih berminat hendak tahu kisah peribadi saya.

"Tetapi buruknya, sudah-sudahlah tu... Carilah cerita orang muda, ramai lagi artis baharu. Kadang kadang bila saya sudah sampai satu tahap usia, saya tidak mahu benda-benda sebegini," luah artis kelahiran Rawang, Selangor ini.

Bakal menginjak usia 50 tahun menjelang Februari ini, Erra mengakui sedikit berdebar menantikan fasa baharu dalam hidupnya itu.

"Saya gembira memasuki usia 50 tahun, bulan depan tetapi pada masa sama, ada juga rasa takut. Bukan takut sebab tua, tetapi atas faktor kesihatan.

"Takut terkena penyakit dan disebabkan itu, saya perlu menjaga kesihatan.

Ini bermakna saya kena sentiasa menjalani kehidupan aktif dengan bersukan.

"Emak sangat mengambil berat soal penjagaan kesihatan. Dia akan tanya pembantu sama ada saya bersenam atau tidak.

"Kalau tak bersenam dalam seminggu, emak akan membebel. Selain itu, saya juga peka dalam soal penjagaan wajah.

"Saya mula menjaga kecantikan ketika usia masih muda lagi. Tapi semuanya dengan cara asli, bukan melalui pembedahan kosmetik," jelas

Erra ditemui pada sidang media dan tayangan drama bersiri, Rampas Cintaku 2 di ibu negara, baru-baru ini.

Melalui karya disiarkan di saluran penstriman iQIYI itu, Erra membawakan watak pelakon pembantu iaitu menjadi isteri kepada pelakon berkaliber, Zamarul Hisham.

"Saya tak kisah pegang watak pembantu atau 'cameo'. Malah, saya pilih watak begini sejak dulu lagi.

"Jika ditanya, saya selesa pegang watak kedua berbanding utama. Sebelum ini, saya sudah puas berlakon dari pagi hingga pagi esoknya.

"Lagipun, tiada apa yang perlu saya buktikan ataupun kejar. Pada usia begini, saya lebih suka watak santai dan tidak memberi tekanan.

"Tapi, itu tak bermakna saya tolak kalau ada yang tawarkan watak utama. Cuma, itu bukan keutamaan saya sekarang," jelas Erra.

Berita Harian X