Sabtu, 27 Januari 2024 | 11:00am
Naim mengaku emosinya terkesan tindakan segelintir selebriti dan pempengaruh ‘merepek’ dalam sesi ‘live’ memberi tanggapan buruk kepada anak seni. Foto NSTP Aswadi Alias
Naim mengaku emosinya terkesan tindakan segelintir selebriti dan pempengaruh ‘merepek’ dalam sesi ‘live’ memberi tanggapan buruk kepada anak seni. Foto NSTP Aswadi Alias

Naim bengang selebriti buat podcast merepek

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel kesal dengan tindakan sesetengah selebriti dan pempengaruh yang mengeluarkan kenyataan bersifat dangkal dan boleh mengelirukan dalam media sosial.

Naim berkata, mereka yang mempunyai pengaruh sepatutnya menggunakan platform itu untuk menyalurkan informasi yang boleh memberi manfaat kepada pengikut, bukannya mengeluarkan kenyataan merapu.

"Bagi saya, kita harus bertanggungjawab atas apa yang disampaikan. Saya rasa sepatutnya podcast ini kena ada tapisan.

"Apa sahaja isu boleh nak dibahaskan, tapi dengan siapa yang dirujuk itu penting. Contohnya, kalau orang nak borak tentang kapal selam takkan nak panggil saya?

"Sebab sekarang bila kita lihat terutama kanak-kanak lebih minat ke arah TikTok. Benda-benda yang mudah untuk diakses.

"Bayangkan, contohnya kandungan menjadi tular dan melekat dalam pemikiran kanak-kanak, mesti mereka akan fikir perkara itu betul.

"Kita tidak mahu buang bangsa yang suka menimba ilmu. Kita sendiri akan rugi sebab bila makin senang, tapi tak memikirkan apa yang akan terjadi pada masa hadapan," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Naim menyelar kenyataan pempengaruh yang menganggap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak penting di platform X hingga dikecam netizen.

Selain pempengaruh terbabit, penyanyi As'ad Motawh turut 'dibelasah' warganet kerana mengeluarkan kenyataan berkenaan pembaziran masa ke sekolah menerusi podcast.

Naim atau nama penuh, Muhammad Naim Daniel Baharin mengaku emosinya terkesan tindakan segelintir selebriti dan pempengaruh 'merepek' dalam sesi 'live' memberi tanggapan buruk kepada anak seni.

"Betul, saya memang marah sangat sebab saya fikir tidak semua orang boleh buat podcast. Kalau daripada segi hendak jadikan strategi pemasaran, takkan tahap itu sahaja hendak buat terutama daripada orang bergelar pempengaruh atau selebriti.

"Takkan kita hendak letak standard pemikiran rakyat Malaysia bahawa jika ada benda tidak bagus dan negatif, barulah dapat perhatian.

"Memang selalunya orang akan tertarik dengan benda negatif, tetapi adakah itu legasi yang kita nak bagi pada anak bangsa pada masa akan datang?

"Saya sendiri apabila saya jawab temu bual akan beri bahagian terbaik apa yang boleh saya sampaikan.

"Sebab itulah saya tak mahu jawab secara sembrono atau main tembak sahaja kerana orang akan tengok. Apa yang selebriti sampaikan, buat dan utarakan dalam podcast semuanya akan jadi perhatian.

"Nanti orang pukul sama rata, artis Malaysia ini nilai setakat itu sahajalah. Buat podcast cerita benda yang merepek.

"Apabila dapat tajuk yang tak reti nak ulas tapi mahu ulas, itulah jadinya... Kita tidak mahulah jadi begitu," katanya ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Elly Mazlein berjudul Sayap di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Lagu berentak balada itu adalah hasil ciptaan Naim bersama dua komposer lain iaitu Omar K dan Iqie Hugh.

Pada majlis itu, penonton turut dihiburkan dengan persembahan pemenang Elly yang meraih trofi Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu serta tayangan eksklusif video muzik Sayap.

Berita Harian X